JPBNS digesa kaji semula dasar penutupan taska, tadika ketika IPU melebihi 200

Facebook
WhatsApp
GEORGE Lam menggesa JPBNS mempertimbangkan garis panduan berbeza bagi taska dan tadika ketika berdepan keadaan jerebu.

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) digesa mengkaji semula dasar penutupan taska dan tadika apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200, kata Setiausaha DAPSY Sarawak, George Lam.

Beliau berkata, meskipun kesihatan dan keselamatan kanak-kanak perlu kekal sebagai keutamaan ketika Sarawak berdepan jerebu rentas sempadan, penutupan secara menyeluruh boleh memberi kesan kepada ibu bapa yang bekerja, khususnya keluarga berpendapatan dua sumber.

“Kebanyakan taska dan tadika hari ini sudah mempunyai ruang aktiviti dalaman. Ketika pencemaran udara teruk, menghantar anak ke taska atau tadika yang mempunyai persekitaran dalaman yang baik tidak semestinya menyebabkan pendedahan kepada pencemaran udara yang jauh berbeza berbanding berada di rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lam berkata, banyak taska dan tadika juga memaklumkan kepada ibu bapa bahawa guru akan memantau kesihatan kanak-kanak dengan rapi serta melarang sepenuhnya aktiviti luar ketika keadaan jerebu.

“Saya percaya dengan langkah perlindungan ini, menempatkan kanak-kanak dalam persekitaran dalaman yang selamat memberikan tahap perlindungan yang setanding dengan berada di rumah,” katanya.

Beliau menggesa JPBNS menetapkan garis panduan berbeza berdasarkan keadaan sebenar setiap taska dan tadika, termasuk kemudahan dalaman, sistem pengurusan udara serta keupayaan melarang sepenuhnya aktiviti luar.

“Pada masa kini, kebanyakan keluarga mempunyai dua sumber pendapatan dengan kedua-dua ibu bapa perlu bekerja. Jika taska atau tadika diwajibkan tutup setiap kali IPU melebihi 200, salah seorang ibu bapa mungkin terpaksa mengambil cuti tahunan atau cuti kecemasan untuk menjaga anak di rumah,” katanya.

Lam berkata, keadaan itu berbeza dengan sekolah rendah dan menengah kerana sekolah boleh mengatur pembelajaran secara dalam talian apabila sesi persekolahan ditutup.

“Kanak-kanak kecil tidak mampu memberi tumpuan kepada kelas dalam talian untuk tempoh yang panjang, manakala guru juga tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada skrin untuk menyediakan penjagaan, interaksi dan pembelajaran yang diperlukan. Ini boleh menjejaskan perkembangan pembelajaran dan rutin harian mereka,” katanya.

Beliau berkata, taska dan tadika yang mempunyai persekitaran dalaman baik serta langkah perlindungan mencukupi wajar dibenarkan beroperasi apabila IPU melebihi 200, dengan syarat mematuhi keperluan kesihatan dan keselamatan serta melarang semua aktiviti luar.

“Semakan dasar ini bukan bermaksud menurunkan tahap perlindungan kesihatan kanak-kanak. Sebaliknya, saya berharap pihak berkuasa dapat mencapai keseimbangan lebih baik antara keselamatan kanak-kanak, pendidikan awal kanak-kanak dan keperluan praktikal keluarga,” katanya.

Oleh Connie Chieng