
KUCHING: Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang beroperasi di sekolah ketika ini akan dibincangkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri bagi menentukan sama ada mangsa banjir perlu dipindahkan atau boleh terus menggunakan dewan sekolah apabila sesi persekolahan bermula Isnin depan.
Beliau berkata keputusan berkenaan akan dibuat berdasarkan keperluan semasa, tahap keselamatan serta keselesaan mangsa, selain memastikan kelancaran operasi persekolahan tidak terjejas.
“Bagi PPS yang melibatkan sekolah, kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri untuk menentukan sama ada mangsa akan dipindahkan atau akan terus menggunakan dewan sekolah tersebut apabila sekolah bermula Isnin depan.
“JPBNS akan terus memantau dan membuat keputusan yang tepat pada waktu itu,” katanya ketika melawat PPS Dewan Serbaguna Kampung Bijuray Mongag, Krokong, Bau hari ini bagi meninjau pengurusan mangsa serta kesiapsiagaan agensi di lapangan.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi PPS yang tidak dapat digunakan kerana sedang dibaiki, JPBNS telah menggunakan rumah panjang sebagai alternatif penempatan sementara, termasuk di Selangau, bagi memastikan mangsa mempunyai lokasi perlindungan yang selamat dan sesuai.
Uggah turut memaklumkan setakat pagi tadi, Sarawak merekodkan 39 PPS yang menempatkan 2,871 mangsa banjir daripada 870 keluarga melibatkan kawasan Serian, Kuching, Samarahan, Miri, Bintulu dan Mukah.
Menurutnya, semua agensi serta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian telah digerakkan bagi memastikan pengurusan mangsa dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard JPBNS termasuk bekalan makanan yang mencukupi, tilam, kebersihan serta kemudahan tandas yang baik bagi mengurangkan tekanan di PPS.
Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri turut diarahkan melaksanakan saringan kesihatan bagi mengesan sebarang jangkitan influenza dan mengasingkan kes yang dikenal pasti, manakala pihak berkuasa tempatan diminta menjalankan semburan kabus untuk mencegah risiko denggi di kawasan PPS.
Oleh Adi Safarman