
SIMANGGANG: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sri Aman telah mengadakan Mesyuarat Persiapan Menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026 bersama pelbagai agensi keselamatan di bahagian ini, pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh berkata mesyuarat berkenaan bertujuan menilai tahap kesiapsiagaan dan persediaan awal semua agensi bagi menghadapi fasa peralihan MTL yang dijangka bermula pada 30 September sehingga November 2025.
Menurutnya, semua agensi keselamatan dan teknikal diarah untuk meningkatkan kesiapsiagaan masing-masing, termasuk penyelarasan logistik, pemantauan kawasan berisiko serta pelan tindakan segera sekiranya berlaku kejadian banjir atau tanah runtuh.
Beliau berkata, walaupun Sri Aman bukan antara kawasan paling terjejas setiap kali MTL melanda, namun persediaan awal amat penting bagi memastikan keselamatan penduduk dan kelancaran operasi penyelamatan sekiranya berlaku bencana.
“Setiap agensi perlu berada dalam keadaan siap siaga penuh, termasuk memastikan pusat pemindahan sementara, aset logistik dan pasukan bertugas berada dalam keadaan baik serta boleh digerakkan dengan segera,” katanya.
Dalam masa sama, Mahra menegaskan peranan media tempatan amat penting bagi membantu menyalurkan maklumat sahih daripada pihak Jawatankuasa Bencana Bahagian kepada masyarakat.
“Kerjasama media dalam menyebarkan infografik dan kenyataan rasmi daripada agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) amat diperlukan agar masyarakat mengetahui bila cuaca buruk dijangka berlaku serta kesannya terhadap kawasan masing-masing,” ujarnya.
Beliau turut menggesa orang ramai agar peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan serta tidak menularkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan semasa fasa peralihan Monsun Timur Laut tahun ini.