BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) berhak menahan pembayaran dan membatalkan kontrak hotel yang beroperasi sebagai Stesen Kuarantin Sementara sekiranya gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pengerusi JPBB Bintulu, Jack Aman Luat berkata, sejak kebelakangan ini, banyak isu berkenaan tahap kebersihan di hotel (Stesen Kuarantin Sementara) yang tidak terjaga telah timbul.
“Jika pihak hotel tidak mematuhi peraturan, JPBB boleh mengambil tindakan dengan berhak menahan pembayaran ataupun membatalkan kontrak mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan semalam.
Merujuk kepada Perjanjian Bagi Premis Hotel sebagai Stesen Kuarantin Sementara antara Kerajaan Sarawak diwakili Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Pengusaha atau Pemilik atau Pihak Hotel pada Klausa 9 Perjanjian yang berkenaan dengan kebersihan bilik penginapan kuarantin jelas menyatakan bahawa pengusaha atau pemilik atau pihak hotel hendaklah menyediakan pengurusan kebersihan bagi mengawal infeksi di seluruh hotel dengan mematuhi nasihat dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagi tujuan tersebut, pihak hotel boleh melantik perkhidmatan pembersihan sendiri dan kos pembersihan tersebut ditanggung sepenuhnya sendiri tanpa melibatkan sebarang kos terhadap kerajaan.
Sekiranya terdapat Individu Di Bawah Pengawasan ( PUS) yang disahkan dijangkiti virus Covid-19, bilik penginapan PUS tersebut hendaklah dilakukan ‘terminal cleaning’ oleh kerajaan dan kos ditanggung oleh kerajaan.
Panggilan yang biasa digunakan di Bintulu adalah pihak ‘Decon Team’ atau ‘Decontimination Team’ daripada pihak KKM akan datang ke hotel untuk membuat terminal cleaning pada bilik-bilik yang didiami oleh pesakit Covid-19 setelah mereka dibawa ke hospital.
Seterusnya pula, skop terminal cleaning dan masa pembersihan hendaklah ditentukan oleh kerajaan yang mana kerajaan tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kerosakan yang timbul sewaktu terminal cleaning dijalankan.
Sekiranya tidak terdapat PUS yang disahkan dijangkiti virus Covid-19 dan telah mendapat kelulusan untuk mendaftar keluar daripada hotel, pihak hotel hendaklah melaksanakan disinfeksi am di hotel termasuk kawasan bilik penginapan PUS, koridor, lif, lobi dan kawasan guna sama lain yang digunakan oleh PUS.
Kos disinfeksi am tersebut adalah ditanggung oleh pengusaha atau pemilik atau pihak hotel dan kerajaan akan memberi bantuan khidmat nasihat berhubung disinfeksi am tersebut, sekiranya perlu.
Berdasarkan perjanjian tersebut juga, pada Klausa 12.1.1 sepanjang tempoh perjanjian, sekiranya pengusaha atau pemilik atau pihak hotel gagal untuk mematuhi atau melaksanakan mana-mana terma atau syarat dalam Perjanjian ini, atau gagal untuk melaksanakan perkhidmatan dengan sempurna dan memuaskan, atau menggantung pelaksanaan mana-mana bahagian atau keseluruhan Perkhidmatan.
Maka kerajaan berhak untuk memberikan Notis secara Bertulis kepada pengusaha atau pemilik atau pihak hotel (atau dirujuk sebagai Notis Kemungkiran) dengan menyatakan kemungkiran yang berlaku dan mengkehendaki mereka untuk meremedikan kemungkiran tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam Notis Kemungkiran tersebut ( atau dirujuk sebagai Tempoh Remedi).
Jika pihak hotel gagal untuk mengambil tindakan untuk meremedikan kemungkiran tersebut dalam Tempoh Remedi atau mana-mana tempoh lain yang dipersetujui oleh kerajaan, maka kerajaan berhak untuk menamatkan perjanjian itu serta-merta dengan memberikan notis bertulis kepada pengusaha atau pemilik atau pihak Hotel (dirujuk juga sebagai Notis Penamatan).
Oleh CAROLYNE UTIH