
LONDON: Peninju Britain Anthony Joshua, mengalami “kecederaan ringan” selepas kenderaan yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Nigeria, yang mengorbankan dua nyawa, lapor PA Media/dpa.
Bekas juara dunia heavyweight bersatu dua kali itu sedang bercuti di Afrika selepas mencatat kemenangan kalah mati pusingan keenam ke atas bintang YouTube yang beralih menjadi peninju, Jake Paul, di Miami kurang dua minggu lalu.
Polis Negeri Ogun berkata kejadian itu berlaku di Lebuh Raya Lagos-Ibadan pada pagi Isnin. Rakaman tidak disahkan yang tular dalam talian menunjukkan Joshua tidak berbaju dan kelihatan terpinga-pinga di dalam sebuah kenderaan yang dikelilingi serpihan kaca.
Dalam satu kenyataan, polis berkata: “Ibu Pejabat Polis Negeri Ogun mengesahkan bahawa peninju terkenal dunia, Anthony Joshua, terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira 11.00 pagi di Makun, Negeri Ogun.

“Kenderaan SUV Lexus yang membawa Encik Joshua, terlibat dalam kemalangan dan insiden itu masih disiasat. Joshua, yang duduk di bahagian belakang kenderaan, mengalami kecederaan ringan dan kini menerima rawatan perubatan bersama seorang lagi mangsa yang cedera.
“Malangnya, dua penumpang lain dalam kenderaan tersebut maut di lokasi kejadian. Perkembangan lanjut akan dimaklumkan apabila siasatan diteruskan.”
Kor Keselamatan Jalan Raya Persekutuan (FRSC) Nigeria memuat naik beberapa gambar lokasi kejadian di platform X, yang menunjukkan dapatan awal mengesyaki kenderaan jenis Lexus itu “dipercayai dipandu melebihi had laju yang dibenarkan”.
FRSC turut memaklumkan bahawa kenderaan berkenaan hilang kawalan ketika melakukan “percubaan memotong” sebelum merempuh sebuah lori yang berhenti di tepi jalan.
Selepas berehat daripada aksi tinju selama 15 bulan, Joshua mematahkan rahang Paul di dua bahagian dalam pertarungan yang disiarkan oleh platform penstriman Netflix, dengan siaran itu menarik penonton global seramai 33 juta orang.

Kemenangan tersebut merupakan yang ke-29 daripada 33 pertarungan profesionalnya, dan selepas itu Joshua mencabar seteru dari Britain, Tyson Fury, yang kini bersara, untuk bertarung dalam perlawanan yang telah lama dinantikan pada 2026.
Promoter Joshua, Eddie Hearn, memberitahu Daily Mail Sport bahawa beliau sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai tahap kecederaan Joshua akibat kemalangan itu.
“Saya sedang bercuti bersama keluarga dan terjaga dengan berita mengenai insiden ini,” katanya.
“Kami sedang cuba menghubungi Anthony dan buat masa ini kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai keadaannya, namun berdasarkan apa yang saya lihat, dia kelihatan baik-baik sahaja.
“Kami menunggu maklumat lanjut mengenai apa yang sebenarnya berlaku dan akan mengemas kini perkembangan seterusnya.”
Agensi Berita Press Association turut menghubungi promoter dan pegawai perhubungan awam Joshua.- Bernama-PA Media/dpa