
KUCHING: Pemangku Setiausaha Nicholas Wung berkata Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Kuching, Jong Yean Pin, telah mengambil alih jawatan sebagai Pemangku Pengerusi, manakala beliau sendiri menjalankan tugas sebagai Pemangku Setiausaha selaras dengan perlembagaan parti.
Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Exco yang kemudian disusuli dengan mesyuarat cawangan bermula pada 7.30 malam.
“Ia merupakan sidang media yang diatur secara tergesa gesa, namun jawatankuasa bersetuju bahawa operasi harian cawangan Kuching akan diteruskan seperti biasa termasuk semua aktiviti yang telah dirancang,” katanya.
Wung turut mendedahkan bahawa satu pasukan petugas khas telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar pemecatan Datuk Lily Yong dan setiausaha cawangan, Voong Nam Jin.
Beliau menyatakan rasa terkejut terhadap perkara itu dan berkata kedua duanya diberi tempoh 30 hari untuk membuat keputusan sama ada mahu membuat rayuan atau tidak.
“Pengerusi Bertindak, saya bersama beberapa peguam dalaman telah membentuk pasukan petugas untuk meneliti perkara ini serta memberi sokongan yang diperlukan kepada mereka,” katanya.
Datuk Lily Yong dan Voong telah dipecat pada 9 Mac lalu, dengan surat rasmi diterima pada 16 Mac.
Wung berkata pemecatan itu adalah berdasarkan dakwaan bahawa mereka gagal mengemukakan bukti kukuh bagi menyokong tuntutan berhubung ketidakaturan dalam program Kad Kenyalang Gold, seperti yang dinyatakan dalam kenyataan awam bertarikh 3 Julai 2025.
Beliau menambah bahawa pihak ibu pejabat parti berpendapat kenyataan tersebut berpotensi menjejaskan kredibiliti parti serta keyakinan orang ramai.
“Kedua dua mereka hanya melalui proses siasatan oleh lembaga dalam tempoh kurang sehari, jadi pemecatan ini agak mengejutkan,” katanya.
Oleh Connie Chieng