SEOUL: Media rasmi Korea Utara semalam memaparkan pemimpin utama mereka, Kim Jong Un menghadiri mesyuarat pemimpin kanan dan mengeluarkan amaran berhubung pandemik Covid-19 dan bencana taufan, susulan spekulasi antarabangsa berhubung tahap kesihatannya.
Komen Jong Un dibuat susulan maklumat berhubung tahap kesihatannya, selepas agensi perisik Korea Selatan memberitahu, beliau menyerah sebahagian kuasa kepada kakaknya, Kim Yo Jong.
Bekas pembantu kepada mendiang Presiden Korea Selatan, Kim Dae Jung menerusi satu hantaran di Facebook turut mendakwa, Pemimpin Korea Utara itu berada dalam keadaan koma, walaupun tiada bukti kukuh mengenainya.
Jong Un bagaimanapun mempengerusikan mesyuarat pada Selasa, lapor agensi berita rasmi KCNA, dan bercakap mengenai kelemahan pada usaha kecemasan menangani pandemik Covid-19 selain persediaan menghadapi taufan Bavi yang dijangka melanda negara itu minggu ini.
Korea Utara, negara miskin dengan sistem kesihatan yang buruk dan tidak mampu menangani pandemik tidak melaporkan sebarang kes sejak Covid-19 melanda seluruh dunia.
Jong Un dipaparkan dalam akhbar Rodong Sinmun, sedang mempengerusikan mesyuarat, mengenakan sut berwarna putih dan menghisap rokok.
Beliau menegur beberapa kelemahan dalam usaha mencegah dan menggesa pendekatan lebih kukuh diambil bagi mengatasi kekurangan itu, lapor KCNA.
Bulan lalu, Pyongyang melaksanakan perintah berkurung ke atas bandar Kaesong, berhampiran sempadan Korea Selatan, selepas mengesyaki seorang penduduk membawa virus berkenaan.
Perintah itu ditamatkan awal bulan ini walaupun jangkitan terbabit tidak pernah disahkan. – AFP