Umum tahu sarapan pagi adalah antara set makanan terpenting ataupun yang pertama diambil sebelum memulakan kehidupan harian.
Tanpa sarapan pagi, seseorang mungkin akan lemah kerana kelaparan dan juga tidak bertenaga untuk melakukan sesuatu pekerjaan.
Kenapa tinggalkan sarapan, sedangkan sarapan menyajikan pelbagai menu pilihan terutamanya bagi warga di bandar raya Kuching
Seawal jam 6 pagi, kita boleh meninjau sekitar bandaraya dan rata-rata kedai kopi dan juga gerai makanan sudah mula menjalankan operasi mereka.
Pertama sekali, makanan bagi sarapan pagi menjadi kegilaan adalah Mi Kolok versi halal dan tidak halal seperti Mi Kolok merah, Mi Kolok putih, Mi Kolok Sapi dan juga Mi Kolok Ayam.
Bukan sahaja mengenyangkan, Mi Kolok juga merupakan makanan yang tidak menjemukan penggemarnya, dengan keistimewaan rasa dan tekstur mi itu sendiri, sama ada disaji kering atau berkuah.
Kedua, makanan sarapan pagi menjadi pilihan warga Kuching adalah Laksa Sarawak.
Laksa Sarawak boleh didapati hampir di setiap kedai kopi di bandaraya ini, yang sememangnya menyajikan pelbagai pilihan laksa seperti Laksa Udang dan Laksa Kerang.
Dengan rasanya yang berlemak dan pedas, Laksa sudah tentu menjadi igauan setiap pagi bagi yang menggemarinya.
Beralih pula kepada makanan berasaskan nasi, sudah tentu kita membayangkan nasi lemak, nasi goreng dan juga bubur nasi sebagai sarapan pagi kita.
Nasi lemak adalah antara makanan yang mengenyangkan dan juga menjimatkan kerana dijual dengan harga mampu milik terutamanya apabila dibeli di gerai-gerai tepi jalan.
Disitu juga, kita boleh mendapatkan makanab sarapan pagi yang lain seperti kuih-muih, cucur dan juga mi goreng yang sudah sedia dibungkus.
Bagi yang ingin memilih makanan sarapan pagi yang ringan dan sesuai dengan selera, di bandaraya ini juga menyediakan roti bakar pebagai versi dan perisa.
Roti bakar kembar, roti bakar keju dan pelbagai lagi dipadukan pula dengan air kopi kaw, milo dan sebagainya.
Apa tunggu lagi, jangan lupa ambil sarapan pagi kerana makanan yang tersedia bagi sarapan di Kuching tiada bandingannya.
Oleh Alexandra Lorna