
MARUDI: Jom Santai dan ‘We Brow Crew’, dengan kerjasama Saberkas Cawangan Marudi serta Taming Sari N76 Marudi, akan menganjurkan Program Jom Santai Pesta Air dari 5 hingga 9 November depan.
Program tersebut akan diadakan di Dataran Marudi, manakala majlis perasmiannya bakal disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Ahli Dewan Undangan Negeri Marudi, Datuk Dr. Penguang Manggil.
Dijangka seramai 600 peserta akan menyertai pelbagai aktiviti termasuk ‘WaterSplash’, Berjalan dan Larian Santai (3km), Pertandingan Karaoke The Battle of The Voice Marudi, persembahan seni silat oleh Persatuan Silat Gayong Ghaib Marudi, serta persembahan tarian Rampaian Melayu Tradisional, Inang dan Joget oleh SK Good Shepherd.
Selain itu, peserta juga akan dihiburkan dengan persembahan tarian Melayu dan Cina moden dari SMK Telang Usan, serta senamrobik dan Zumba oleh Group Rekreasi Marudi.
Acara utama yang dijangka menjadi tumpuan masyarakat Marudi dalam program ini ialah Racing Power Boat Terbuka Marudi, yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 8 hingga 9 November 2025.
Oleh Jiku Juguong