KEBANGGAAN … Siti Rahmah (kiri) antara ribuan anak Sarawak berhijrah ke Johor menunjukkan pusat rawatan ibu bersalin yang diusahakannya di Taman Megah Ria, Pasir Gudang. • Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Berbekalkan keinginan untuk mengubah taraf kehidupan keluarga, Siti Rahmah Abdullah nekad berhijrah dari kampung halamannya di Rumah Panjang Richard, Kapit, Sarawak ke Johor Bahru pada usia baru menginjak 16 tahun.
Walaupun ketika itu mahu meneruskan persekolahan ke peringkat lebih tinggi, beliau sedar tidak mampu berbuat demikian kerana ibu bapanya hanya bekerja sebagai petani dan bergelut untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Lantas apabila dipelawa oleh seorang saudaranya untuk bekerja di sebuah kilang di Johor Bahru, Siti Rahmah tidak berfikir panjang dan terus bersetuju, dengan harapan dapat membantu ibu bapanya.
Hari ini, selepas 28 tahun, Siti Rahmah mengakui kepada Bernama bahawa keputusannya untuk berhijrah ternyata tepat kerana kini sudah mampu membuka perniagaan sendiri di Taman Megah Ria di Pasir Gudang setelah bertahun-tahun mengumpul modal perniagaan sebagai pekerja kilang.
“Saya sukakan kelainan dan apabila sudah menetap lama di sini, saya terfikir mengapa tidak melibatkan diri dalam bidang perniagaan yang lebih menguntungkan berbanding hanya bekerja di kilang. Itu adalah asas yang saya pegang untuk mengubah kualiti kehidupan diri dan keluarga,” katanya yang mengusahakan perniagaan pusat rawatan alternatif kepada ibu bersalin.
Transformasi kehidupan yang dilalui Siti Rahmah itu hanyalah sebahagian kisah anak Sarawak yang berhijrah ke Johor sejak awal 80-an bagi mencari pelbagai peluang ekonomi termasuk pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan keluarga.
Kini dianggarkan kira-kira 30,000 anak Sarawak menetap di negeri Selatan Semenanjung itu dengan kebanyakannya bekerja di sektor perkilangan, perkhidmatan, gas dan minyak, serta di Singapura.
Pengerusi Persatuan Raban Anak Sarawak Johor Muhammad Danish Sangkan Jantom berkata kehadiran mereka yang diterima baik oleh penduduk setempat dan kerajaan negeri turut membolehkan komuniti mereka menjalankan perniagaan antaranya berasaskan produk dan makanan Sarawak.
Ini terbukti melalui kewujudan tapak Pasar Borneo di Permas, Pasir Gudang sejak 2013 yang menjadi medan kepada 54 peniaga kecil Sarawak menjual sayur-sayuran, produk kraftangan dan makanan dari Sarawak, serta beberapa kedai lain yang diusahakan masyarakat itu sendiri.
Pasar berkenaan beroperasi setiap Rabu, Sabtu dan Ahad bermula 11 pagi hingga 6 petang itu turut menjadi destinasi pelancongan kepada mereka yang berkunjung ke Johor kerana mengetengahkan keunikan sendiri.
“Sejak mewujudkan komuniti besar, kami tidak pernah berasa dipulau di sini walaupun pada mulanya terdapat beberapa isu kejutan budaya, namun perhatian kerajaan negeri cukup baik kerana dana dan geran sentiasa disalurkan untuk membolehkan persatuan membantu anak Sarawak.
“Mengambil contoh kisah Siti Rahmah, kejayaannya hasil bantuan agensi kerajaan negeri seperti Johor Corporation (JCorp) yang memberikan modal kewangan, latihan pengurusan dan pemasaran bagi membolehkannya bersaing di pasaran,” kata Muhammad Danish.
Oleh itu, beliau berharap sesiapa pun parti atau gabungan politik yang berjaya membentuk kerajaan negeri baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dapat terus memperkasakan ekonomi masyarakat tersebut, selain membuka peluang yang seluasnya kepada mereka untuk memiliki Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).
Katanya, ini penting kerana banyak projek perumahan di Johor berharga melebihi RM300,000, mengatasi kemampuan sebahagian besar anak Sarawak yang bekerja di sektor perkilangan.
“Kami juga berharap isu pelantikan Ketua Masyarakat Sarawak dipercepatkan bagi memudahkan urusan hal ehwal anak Sarawak kerana ketiadaan jawatan itu kini menyukarkan penyaluran maklumat penting seperti bantuan dan latihan perniagaan kepada komuniti,” katanya.
Data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan seramai 15,162 rakyat Sarawak di Johor layak mengundi pada pilihan raya negeri itu pada Sabtu ini, dengan 3,341 daripadanya berpusat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas diikuti DUN Tiram (2,136) dan Johor Jaya (1,370). – Bernama