Johnny Pang gesa pemantauan banjir dipertingkat, projek saliran dipercepat

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

HUJAN lebat awal pagi menyebabkan air melimpahi sistem perparitan di beberapa kawasan sekitar Bintulu, namun paras air surut dengan cepat selepas hujan reda.

BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Ming Leong menggesa pemantauan di kawasan berisiko banjir di sekitar Bintulu terus dipertingkat susulan hujan lebat yang melanda bandar itu awal pagi tadi.

Beliau berkata, pasukannya telah berhubung dan menyelaras tindakan bersama agensi kerajaan berkaitan bagi memantau keadaan di beberapa lokasi yang sering dilanda banjir, termasuk perubahan paras air.

Menurutnya, kejadian kali ini hanya menyebabkan sebuah jalan terjejas dalam tempoh yang singkat sebelum paras air surut sebaik hujan reda.

“Kita bersyukur keadaan dapat dikawal dan tidak mengakibatkan gangguan yang lebih serius kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johnny Pang berkata, meskipun kejadian kali ini tidak membawa kesan yang serius, usaha menangani banjir kilat perlu dipergiat memandangkan beberapa kawasan di Bintulu masih berisiko dilanda banjir setiap kali hujan lebat.

Justeru, tegas beliau, pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan menggesa agensi berkaitan mempercepat pelaksanaan projek penambahbaikan sistem saliran bagi mengurangkan risiko kejadian banjir secara berperingkat.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya segera menghubungi pasukannya sekiranya memerlukan bantuan atau berdepan dengan sebarang kecemasan akibat banjir.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mengikuti perkembangan cuaca semasa bagi memastikan keselamatan diri serta keluarga sepanjang tempoh cuaca tidak menentu.

Oleh Carolyne Utih