JOHN Lee melambai selepas menjadi Ketua Eksekutif baharu di Hong Kong.• Foto AFP
HONG KONG: Seorang bekas Ketua Keselamatan yang menyelia tindakan keras terhadap pergerakan demokrasi Hong Kong dilantik sebagai pemimpin baharu hab perniagaan itu oleh jawatankuasa kecil penyokong setia Beijing semalam
John Lee, 64, adalah satu-satunya calon dalam perlumbaan yang disokong Beijing untuk menggantikan pendahulu Carrie Lam.
Kenaikan Lee, tertakluk kepada sekatan Amerika Syarikat (AS) meletakkan seorang pegawai keselamatan dalam jawatan tertinggi buat kali pertama selepas beberapa tahun huru-hara akibat pergolakan politik dan kawalan pandemik.
Walaupun perlembagaan mini bandar itu menjanjikan hak mengundi sejagat, Hong Kong tidak pernah menjadi negara demokrasi, punca kekecewaan dan protes awam selama bertahun-tahun sejak penyerahan 1997 kepada China.
Pemimpin sebaliknya dipilih oleh ‘Jawatankuasa Pilihan Raya’ yang kini terdiri daripada 1,461 orang iaitu kira-kira 0.02 peratus daripada penduduk bandar itu.
Selepas undian rahsia ringkas semalam. 99 peratus (1,416 ahli) mengundi Lee manakala lapan mengundi menentang, menurut pegawai.
Beijing memuji keputusan yang hampir sebulat suara itu berkata, ia menunjukkan masyarakat Hong Kong mempunyai tahap pengiktirafan dan kelulusan yang tinggi untuk Lee.
“Ini adalah demonstrasi sebenar semangat demokrasi,” kata Pejabat Hal Ehwal Hong Kong dan Macau.
Di bawah Presiden Xi Jinping, China membentuk semula Hong Kong dalam imej autoritariannya sendiri selepas protes demokrasi yang besar dan kadang kala ganas tiga tahun lalu.
Beijing menggunakan undang-undang keselamatan negara yang menyeluruh untuk menghapuskan perbezaan pendapat dan melancarkan sistem tapisan politik ‘patriot sahaja’ baharu untuk menjamin sesiapa yang bertanding jawatan dianggap sesuai setia.
Protes sebahagian besarnya diharamkan dengan pihak berkuasa menggunakan larangan anti-Covid pada perhimpunan awam lebih daripada empat orang serta undang-undang keselamatan.
Liga Demokrat Sosial, satu-satunya kumpulan pro-demokrasi yang masih tinggal — mengadakan bantahan tiga orang sebelum pilihan raya dibuka semalam, melaungkan “Kuasa kepada rakyat, hak mengundi sejagat sekarang”.
“Kami tahu tindakan ini tidak akan memberi kesan, tetapi kami tidak mahu Hong Kong berdiam diri sepenuhnya,” kata penunjuk perasaan Vanessa Chan.
Walaupun gerakan demokrasi telah dihancurkan, sebahagian besar penduduk masih membenci pemerintahan Beijing dan kekecewaan terhadap ketidaksamaan yang berakar umbi di bandar itu.
Hong Kong juga menghadapi masalah ekonomi berikutan sekatan pandemik yang ketat selama dua tahun yang merosakkan reputasi hab perniagaannya dan menyebabkan penduduk terputus hubungan apabila saingan dibuka semula.
Lee ditanya oleh pemberita sama ada dia tidak mempunyai mandat yang tulen dan memberi maklum balas menyatakan,”Saya faham akan ada masa yang diperlukan untuk saya meyakinkan rakyat. Tetapi. saya boleh melakukannya dengan tindakan.”
Lee merancang untuk membina Hong Kong yang penuh harapan, peluang dan keharmonian sekarang setelah pihak berkuasa memulihkan keadaan daripada huru-hara”.
Dalam pada itu, Lee juga merancang untuk membuka semula Hong Kong bagi kedua-dua perjalanan antarabangsa dan tanah besar pada masa China menggandakan strategi ketat ‘Sifar-Covid’. -AFP