
KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) mengumumkan pelantikan Johari Shukri Jamil sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu, berkuat kuasa pada hari ini.
UDA dalam kenyataan memaklumkan Johari Shukri berpengalaman lebih 28 tahun dalam sektor korporat dengan kepimpinannya dalam bidang hartanah dan pembinaan, pelaburan hartanah, pembangunan perindustrian, logistik, minyak dan gas serta kejuruteraan.
“Pencapaian beliau dalam perubahan transformasi dan penciptaan nilai akan menjadi tunjang utama mengemudi fasa pertumbuhan UDA,” katanya.
Sebelum menyertai UDA, Johari Shukri pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan PASDEC Holdings Berhad dan Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Hektar Asset Management Sdn. Bhd. iaitu pengurus aset Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT).
Beliau berjaya memacu Hektar REIT melalui fasa pemulihan pascapandemik, menerajui agenda pertumbuhan dan kepelbagaian sekali gus memulihkan keuntungan syarikat berkenaan, selain diiktiraf sebagai Malaysia Top Achiever 2023 bagi CEO of The Year, Leadership Excellence In REIT Management anjuran The Leaders Online.
Antara jawatan lain yang pernah disandang beliau ialah Naib Presiden Eksekutif, Pembangunan Perniagaan dan Pejabat Transformasi di Iskandar Investment Berhad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EA Technique (M) Berhad, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Tanjung Langsat Port Sdn. Bhd, serta pelbagai jawatan kanan dalam beberapa syarikat Johor Corporation.
Sementara itu, Pengerusi UDA Tan Sri Mohd Annuar Zaini yang mewakili barisan Ahli Lembaga Pengarah mengalu-alukan pelantikan Johari Shukri serta mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang telah memberikan persetujuan lantikan itu.
“Kami memandang ke hadapan untuk bekerja bersama beliau dalam usaha memacu pertumbuhan seterusnya memperkukuh UDA.
“Beliau diharapkan berupaya menyuntik idea dan pembaharuan menerusi dimensi, kaedah dan pendekatan baharu selain mengutamakan objektif asal penubuhan UDA untuk memenuhi agenda pembangunan sosial dan ekonomi bumiputera,” katanya.– Bernama