
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan bertukar portfolio daripada Menteri Perladangan dan Komoditi, sebelum ini.
Ketika mengumumkan rombakan Jemaah Menteri hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri disandang oleh Sim Tze Tzin yang merupakan pelantikan baharu.
Selain itu, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pula diumumkan sebagai Menteri Ekonomi baharu dan bertukar portfolio daripada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Timbalan Menteri Ekonomi pula disandang oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah.
Perdana Menteri berkata Datuk Seri Noraini Ahmad yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kini dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi manakala timbalannya adalah Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Anwar juga mengumumkan pelantikan Liew Chin Tong yang sebelum ini Timbalan Menteri MITI, kini menggalas tugas sebagai Timbalan Menteri Kewangan.
“Upacara angkat sumpah yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan berlangsung jam 10 pagi esok di Istana Negara.
“Mesyuarat Jemaah Menteri akan diteruskan pada 2.30 petang esok,” kata Perdana Menteri.
-BERNAMA