
KUALA LUMPUR: Dalam dunia lakonan yang sering berubah mengikut arus pasaran dan populariti, pelakon Johan As’ari tetap berpegang teguh pada kekuatan naskhah serta mesej yang ingin disampaikan sebagai panduan dalam memilih karya.
Johan atau nama sebenarnya Johan Ariff As’ari, 39, berkata setiap tawaran lakonan dinilai bukan sahaja berdasarkan jalan cerita, tetapi juga penulis dan pengarah di sebalik sesebuah penerbitan.
“Kalau tidak pada penulis tersohor, saya akan lihat pula kandungan karya dan siapa sutradaranya. Contohnya, Istana Budaya sentiasa menghasilkan karya yang bagus dan memberi mesej bermanfaat kepada penonton.
“Kalau nama-nama besar seperti Erma Fatima atau Syafiq Yusof, siapa yang tidak mahu berlakon di bawah arahan mereka?” katanya kepada Bernama selepas pelancaran Teater Muzikal Uda dan Dara, di sini baru-baru ini.
Pelakon yang dikenali menerusi watak Botak dalam drama bersiri Juvana itu berkata kejayaan sesebuah karya tidak bergantung pada populariti pelakon semata-mata, sebaliknya ilmu dan tanggungjawab terhadap watak yang dibawa turut memainkan peranan.
“Berlakon, kita hanya perlu kelas ilmu. Kalau kita tiada ilmu, di mana-mana pun kita susah nak bawa diri. Tapi bila kita tahu ini tanggungjawab, orang bayar untuk kita lakukan, jadi kita kena cari inisiatif supaya lakonan itu tidak gagal,” katanya.
Bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu menambah, sama ada pelakon baharu atau berpengalaman, usaha dan kesungguhan menimba ilmu tetap menjadi kunci kejayaan.
“Kalau pelakon itu kosong tapi ada inisiatif berjumpa dengan cikgu lakonan untuk dapatkan ilmu, saya percaya dia boleh jadi lebih bagus,” katanya yang turut berharap dapat menerima tawaran berlakon filem pada masa depan.
Dalam perkembangan lain, Johan kembali ke pentas teater, menggalas watak Uda dalam Teater Muzikal Uda dan Dara yang dijadualkan berlangsung di The Playhouse Theatre, The Campus, Ampang, dari 20 hingga 23 Nov ini.
Kali terakhir beliau beraksi di pentas teater berskala besar adalah menerusi Bahayanya Wanita di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 2014 bersama-sama dengan barisan pelakon seperti Zizan Razak, Umie Aida, Erra Fazira dan Nora Danish.
“Ini kali kedua saya beraksi di pentas besar, tetapi julung kali membawa watak utama. Memang berat, tapi saya bersyukur kerana dibimbing oleh tenaga pengajar yang sentiasa bersama-sama kami setiap hari,” katanya.
Mengulas kemungkinan penonton akan membandingkan lakonannya dengan pelakon terdahulu yang pernah membawakan watak sama, Johan berkata setiap aktor mempunyai tafsiran tersendiri terhadap naskhah berkenaan.
“Kalau orang nak bandingkan, saya anggap itu satu penghormatan kerana pelakon sebelum ini semuanya hebat. Tapi bagi saya, tugas utama ialah menghormati naskhah dan menyampaikan mesej karya Allahyarham Datuk Dr Usman Awang dengan jujur.
“Saya tidak akan ubah satu perkataan pun daripada teks asal. Karya ini sudah cukup indah. Tanggungjawab saya hanya memastikan penonton faham,” katanya.- Bernama