Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • Joe Biden disahkan hidap kanser prostat agresif, merebak ke tulang
  • GLOBAL

Joe Biden disahkan hidap kanser prostat agresif, merebak ke tulang

Utusan Sarawak 13 hours ago

Joe Biden. Foto AFP

WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden disahkan menghidap kanser prostat yang agresif dan dilaporkan sudah merebak ke tulangnya, menurut kenyataan pejabat peribadinya semalam.

Biden, 82, dan keluarganya kini sedang meneliti pilihan rawatan bersama pasukan perubatannya.

Beliau kini berada di kediamannya di Wilmington, Delaware, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu.

“Minggu lalu, Presiden Joe Biden menjalani pemeriksaan susulan selepas mengalami gejala kencing yang semakin teruk.

“Pada Jumaat, beliau disahkan menghidap kanser prostat, diklasifikasikan sebagai Kumpulan Gred 5 dengan skor Gleason 9 serta menunjukkan tanda-tanda metastasis ke tulang,” menurut kenyataan itu.

Walaupun diagnosis itu menunjukkan bentuk penyakit yang lebih agresif, kanser tersebut dilaporkan sensitif terhadap hormon, yang membolehkan rawatan dijalankan dengan berkesan.

Pengumuman ini dibuat beberapa hari selepas jurucakap Biden memaklumkan, bekas Presiden AS itu menjalani pemeriksaan berikutan penemuan “nodul kecil” pada prostatnya.

Sepanjang tempoh pentadbirannya, isu berkaitan usia dan kesihatan sering menjadi perhatian, terutamanya selepas prestasi beliau dalam debat menentang Donald Trump pada Jun tahun lalu.

Pada Februari 2024, Biden menjalani pemeriksaan kesihatan rutin di Pusat Perubatan Tentera Nasional Walter Reed.

Doktor peribadinya, Dr Kevin O’Connor, ketika itu melaporkan, tiada kebimbangan baharu mengenai kesihatan beliau dan mengesahkan beliau ‘layak untuk bertugas.’

Kesihatan fizikal dan mental Biden sebelum ini sering menjadi tumpuan media selepas dilantik menjadi Presiden AS yang juga individu tertua yang pernah memenangi jawatan itu.

Sementara itu, Presiden Donald Trump dan isteri, Melania Trump turut berkongsi kesedihan dalam satu hantaran di Truth Social Trump.

Pasangan berkenaan mengirimkan ucapan dan berdoa buat seluruh keluarga Biden dan berharap pemimpin yang pernah menerajui AS sebelum beliau itu diberi kesembuhan segera.

“Melania dan saya sedih mendengar tentang diagnosis perubatan Joe Biden baru-baru ini. Kami mengirimkan ucapan terbaik dan doa kepada isteri beliau, Jill dan seluruh keluarga dan kami berharap Joe pulih dengan cepat dan berjaya,” tulis Trump.

Presiden Trump sebelum ini sering mengkritik Biden sejak beliau kembali ke White House untuk penggal kedua pada Januari lalu.

Biden, yang berkhidmat sebagai Presiden dari 2021 hingga 2025, secara tiba-tiba menamatkan hasrat untuk bertanding semula pada Julai lalu, beberapa minggu selepas persembahan yang kurang meyakinkan dalam debat menentang calon Republikan, Donald Trump, yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan Demokrat.

Susulan itu, Naib Presiden, Kamala Harris mengambil alih sebagai calon parti tetapi tewas kepada Trump dalam pilihan raya November lalu.

Kesihatan fizikal dan ketajaman mental Biden telah menjadi tumpuan media sejak sebelum debat tersebut yang mana Biden merupakan individu tertua yang pernah memenangi jawatan Presiden.

Sementara itu, Harris pula berkata, Biden adalah seorang pejuang.

“Saya tahu dia akan terus berjuang dan melawan penyakit berkenaan. Kita berharap dia akan cepat pulih,” katanya. – AFP

Continue Reading

Previous: Misa perasmian Paus Leo XIV bermula di Dataran St Peter hari ini
Next: Gunung Lewotobi di Indonesia meletus, cetus amaran penerbangan tertinggi

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.