
SELANGAU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu menjalankan sesi pemantauan Ujian Ketumpatan Tapak (FDT) semalam bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2025 yang melibatkan kerja menaik taraf Jalan Rumah Ganyai, Duat di sini.
JKR dalam kenyataan memaklumkan bahawa ujian FDT merupakan komponen penting dalam kawalan mutu bertujuan memastikan ketumpatan serta ketebalan lapisan lapisan atas jalan mencapai spesifikasi teknikal sebelum kerja turapan tar dilakukan.
Menurut jabatan itu, pelaksanaan ujian tersebut juga penting bagi menjamin kualiti dan ketahanan permukaan jalan sekali gus memastikan keseluruhan proses pembinaan mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.
Pemantauan berkala turut dilaksanakan bersama agensi teknikal berkaitan bagi memastikan setiap fasa pembinaan berjalan mengikut keperluan projek, selain menjamin hasil akhir yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Sementara itu, Pejabat Pusat Khidmat DUN Tamin memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan projek berkenaan bagi memastikan penduduk Rumah Ganyai dan komuniti sekitar menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat.
Turut hadir pada sesi pemantauan itu ialah Pegawai Pusat Khidmat DUN Tamin, Kaunselor Nyireng Saleh. Oleh Tarani Lanting