
NIAH: Satu majlis ringkas namun penuh makna telah diadakan bagi menandakan penyerahan rasmi kemudahan gelanggang terbuka oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Tellingai.
Simbolik penyerahan gelanggang telah disampaikan oleh Penolong Jurutera JKR Miri Corrie Jebury kepada Guru Besar SK Batu Tellingai Bakir Jatan mewakili seluruh warga pendidik dan murid-murid sekolah.
Bakir Jatan ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini berkata, kehadiran kemudahan baharu ini dijangka memberi impak positif dalam memperkasa aktiviti sukan dan kokurikulum di sekolah berkenaan.
Katanya, pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan projek ini, khususnya pihak JKR dan kementerian terlibat, atas komitmen yang diberikan demi kesejahteraan dan pembangunan pelajar luar bandar.
“Gelanggang ini diharapkan menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai atlet muda berbakat serta warga sekolah yang cergas dan sihat dari SK Batu Tellingai pada masa akan datang,” jelasnya lagi.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pegawai Tadbir Khas kepada Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Boggie Juntan sebagai tanda sokongan padu terhadap pembangunan infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
Oleh Adum Liu