
SIBU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menafikan pihaknya pernah mengeluarkan atau mengedarkan dokumen bertajuk ‘Senarai Semak Dokumen Tuntutan Ganti Rugi Kerosakan Kenderaan’, yang disebarkan menerusi media sosial.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh cawangan komunikasi korporatnya hari ini, JKR Sarawak menegaskan dokumen berkenaan adalah tidak sah dan bukan dikeluarkan oleh jabatan itu.
Semakan Bernama di platform Facebook mendapati ia senarai semakan dokumen yang diperlukan untuk membuat tuntutan kerugian pada kenderaan akibat jalan rosak, dan dipercayai disebarkan dalam media sosial sejak Februari lepas.
Mereka yang terkesan daripada kerosakan jalan dikatakan boleh menuntut ganti rugi kerosakan kenderaan dengan hadir ke pejabat JKR untuk berjumpa pegawai yang menguruskan tuntutan serta perlu membawa beberapa dokumen sokongan.
Antara dokumen yang disenaraikan ialah laporan polis, gambar lokasi kejadian termasuk keadaan jalan, gambar kenderaan dari pelbagai sudut serta bahagian yang rosak, selain salinan kad pengenalan dan lesen memandu pemohon.
Turut disenaraikan ialah salinan kad pendaftaran kenderaan serta resit pembaikan daripada bengkel.
“Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi JKR Sarawak untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu, pengguna jalan raya yang terjejas boleh menghubungi saluran rasmi jabatan termasuk Facebook Jabatan Kerja Raya Sarawak, portal TaliKhidmat melalui https://talikhidmat.sarawak.gov.my, talian WhatsApp JKR Sarawak Care +60 11-7017 1777 atau e-mel corporatejkr@gmail.com untuk aduan dan pertanyaan lanjut.
JKR Sarawak komited dalam memastikan penyampaian maklumat yang sahih serta perkhidmatan terbaik kepada rakyat.- Bernama