


TINJAU KEMAJUAN… Pengarah JKR Sarawak, Dr. Cassidy Morris, bersama ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming, mendengar taklimat kemajuan projek jejambat Bintulu semasa lawatan tapak, hari ini.
BINTULU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan mula menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau perkembangan projek pembinaan jejambat yang menghubungkan Jalan Medan Jaya dan Jalan Tun Hussein Onn secara masa nyata.
Pengarah JKR Sarawak, Dr. Cassidy Morris, berkata penggunaan teknologi itu adalah satu inisiatif baharu yang bertujuan meningkatkan ketelusan serta memastikan projek berjalan mengikut jadual.
“Projek jejambat ini merupakan projek kritikal, maka pemantauan berasaskan AI amat penting. CCTV membolehkan kita melihat pergerakan pekerja, perkembangan harian, serta menilai prestasi kontraktor dengan lebih berkesan.
“Kaedah ini telah terbukti berkesan apabila digunakan dalam pembinaan Jambatan Jepak sebelum ini,” katanya kepada media selepas meninjau tapak projek bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming hari ini.
Tambah Dr. Cassidy, kontraktor yang terlibat juga diarahkan untuk melaksanakan kerja pada waktu malam bagi mempercepat kemajuan projek yang bernilai kira-kira RM137 juta itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa JKR akan memperluaskan penggunaan sistem pemantauan CCTV AI ini ke projek besar dan berimpak tinggi di seluruh Sarawak.
“JKR tidak akan berkompromi dengan projek yang gagal mencapai jadual. Dengan sistem ini, kita boleh menilai lebih tepat dan mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kelewatan,” tegasnya.
Oleh Carolyne Utih