
SIMANGGANG: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris menggesa seluruh warga JKR agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dan menjadikan setiap impian jabatan sebagai kenyataan melalui semangat ‘Dream it, make it happen’ (Impikannya, jadikan kenyataan).
Menurut beliau, JKR Sarawak kini bukan sekadar menjadi tonggak pembangunan negeri, tetapi juga telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa melalui pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Pendigitalan Infrastruktur Bentley 2025.
“Hari ini, kita berbangga kerana JKR Sarawak telah berjaya menempah nama di peringkat antarabangsa, hasil komitmen, kepakaran, dan semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam melaksanakan tanggungjawab membina infrastruktur untuk rakyat Sarawak,” katanya.
Amanat itu disampaikan sempena Perhimpunan Bulanan JKR Bahagian Sri Aman yang diadakan dengan penuh semangat dan kebersamaan warga jabatan.
Majlis turut menampilkan beberapa ucapan penting daripada pimpinan jabatan iaitu Jurutera Bahagian Sri Aman, Ts. Lenny Busuri yang menekankan kepentingan pengajian sepanjang hayat sebagai kunci kecemerlangan kerjaya dan menggalakkan semua pegawai menjadikan Datu Dr Cassidy sebagai contoh teladan dalam menimba ilmu dan meningkatkan kompetensi profesional.
Timbalan Pengarah Infrastruktur, Ir. Wisil Lichok menegaskan bahawa JKR Sarawak merupakan agensi teknikal terbesar negeri ini, dengan kejayaan projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah Fasa 2 (SSLR 2) yang menggunakan teknologi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) sehingga diiktiraf di peringkat global.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Bangunan dan Pakar, Sharifah Liz Farawati Wan Omar memaklumkan sebanyak 66 projek bangunan telah ditender bagi tahun 2025, selaras dengan aspirasi pelaksanaan penuh BIM menjelang 2030.
Majlis turut diserikan dengan simbolik Jelajah Perhimpunan Bulanan JKR Sarawak Tahun 2025, penyampaian Anugerah Gangsa & Anugerah Kejuruteraan Inovasi kepada Kumpulan Bujang Senang, KIK JKR Bahagian Sri Aman, serta penghargaan khas Sijil Penghargaan Penyokong Media Sosial Terbaik Tahun Ini kepada Paul Lu atas sumbangan beliau dalam promosi media sosial jabatan.
Oleh Adi Safarman