KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak amat berbesar hati atas jemputan menghadiri sambutan Hari Gawai Dayak yang dianjurkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) buat pertama kalinya di ibu pejabat KKR, di sini, malam tadi.
Menurut jurucakap Cawangan Pembangunan Lebuh Raya, kehadiran JKR Sarawak dalam majlis ini mencerminkan komitmen jabatan tersebut dalam mengamalkan budaya merentas sempadan dan memperkukuh perpaduan nasional.
“Sambutan ini bukan sahaja meraikan warisan masyarakat Dayak, tetapi juga menjadi simbol penyatuan kepelbagaian budaya dalam semangat Malaysia Madani,” katanya.
Majlis bersejarah itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri Persekutuan serta barisan pimpinan tertinggi negara.
Kata jurucakap lagi, ini sekali gus menyerlahkan iltizam kepimpinan negara dalam memartabatkan kepelbagaian sebagai asas kekuatan dan keharmonian negara.
“Sebagai agensi teknikal utama dalam pembangunan infrastruktur di Bumi Kenyalang, JKR Sarawak berbangga kerana budaya masyarakat Dayak bukan sahaja diraikan di tanah kelahirannya, tetapi turut mendapat pengiktirafan di peringkat nasional.
“Ini mencerminkan semangat keterangkuman yang kukuh dalam pembangunan negara, selari dengan pendekatan merentas sempadan budaya dan geografi,” ujarnya.
Majlis dihadiri oleh Timbalan Pengarah (Infrastruktur) yang mewakili Pengarah Kerja Raya Sarawak, Ir. Wisil Lichok.
Wisil Lichok dalam majlis tersebut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KKR atas jemputan serta ucapan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.