JKR diminta teliti semula penutupan lampu isyarat laluan keluar Meridian

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang bersama wakil JKR Bintulu, kontraktor projek Jejambat Medan Jaya dan peniaga selepas sesi libat urus mengenai penutupan lampu isyarat di laluan keluar Meridian.

BINTULU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Bintulu meneliti semula implikasi penutupan lampu isyarat di laluan keluar Meridian berikutan aduan peniaga mengenai kesan terhadap akses dan aliran pelanggan.

Beliau berkata, beberapa peniaga memaklumkan bahawa perubahan laluan itu menyukarkan kenderaan memasuki kawasan kedai, sekali gus menjejaskan operasi harian mereka.

“Saya dimaklumkan bahawa penutupan lampu isyarat berkenaan memberi kesan kepada kemasukan pelanggan. 

JOHNNY Pang menghadiri sesi libat urus bersama JKR Bintulu dan pihak berkaitan berhubung isu aliran trafik di kawasan Meridian.

“Hal ini dibangkitkan oleh peniaga ketika sesi libat urus bersama pihak pengurusan trafik, kontraktor projek Jejambat Medan Jaya, JKR Bintulu dan perunding projek,” katanya selepas sesi libat urus tersebut semalam.

Menurut Johnny Pang, JKR meminta pemilik premis menyalurkan surat sokongan secara rasmi bagi membolehkan penilaian semula dilakukan.

“JKR meminta semua pemilik kedai menandatangani surat rayuan. Sebagai wakil rakyat, saya akan menyokong keperluan penduduk bagi memastikan kemudahan trafik yang lebih lancar,” katanya.

Beliau berkata, sebarang tindakan lanjut akan diputuskan selepas JKR menerima maklum balas bertulis daripada peniaga berkenaan.

Oleh Carolyne Utih