KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS), komited untuk memastikan kesejahteraan mangsa banjir di seluruh negeri ini dalam menghadapi tempoh mencabar akibat hujan lebat berterusan dan fenomena pasang besar.
Menurut satu kenyataan, fokus utama kementerian adalah memastikan penyediaan bekalan makanan asas dan sokongan mencukupi kepada individu terjejas, sama ada dipindahkan ke 661 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau berada di rumah panjang yang terputus hubungan akibat banjir.
“Bagi mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS, JKMS memastikan mereka diberikan makanan yang dimasak (makanan ‘retort’ atau makanan yang disediakan oleh katering).
“Pada masa yang sama, bagi mereka yang berada di kampung atau rumah panjang terpencil yang tidak mempunyai kemudahan jalan, kami telah menubuhkan 27 Pangkalan Hadapan di lokasi strategik.
“Pangkalan ini membolehkan kami, melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatam (JKK) rumah panjang atau penduduk kampung, mengagihkan bekalan makanan kering dengan cepat dan efisien, memastikan tiada keluarga yang kelaparan sepanjang tempoh kritikal ini.
“Langkah proaktif ini mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan kesiapsiagaan dan responsif ketika menghadapi bencana,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, JKMS turut bertanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan fizikal dan mental mangsa banjir di PPS.
“Ini termasuk menyediakan tempat perlindungan yang mencukupi (kabin untuk privasi), bekalan makanan yang mencukupi, dan juga menangani keperluan emosi serta psikologi mereka yang terjejas.
“Kami memastikan persekitaran yang selamat dan menyokong untuk semua yang dipindahkan, dengan perhatian khas diberikan kepada kanak-kanak, warga emas, dan golongan yang terdedah,” katanya.
Sementara itu, ibu bapa digesa untuk sentiasa berwaspada dan memantau anak-anak mereka dengan teliti sepanjang tempoh ini.
“Air banjir boleh membawa risiko yang serius, dan memastikan keselamatan kanak-kanak adalah keutamaan.
“Kanak-kanak tidak seharusnya dibenarkan bermain di dalam air banjir (walaupun mereka tahu berenang) disebabkan oleh risiko seperti arus yang kuat, serpihan, haiwan, atau penyakit bawaan air.
Selain itu, semua penduduk di kawasan berisiko banjir dimohon untuk sentiasa mengikuti nasihat dan arahan yang dikeluarkan oleh pengerusi Jawatankuasa Bencana Bahagian atau Daerah.
“Perintah pemindahan harus diikuti tanpa kelewatan untuk mengelakkan risiko yang tidak perlu.
“Kepatuhan awal bukan sahaja memastikan keselamatan keluarga, tetapi juga membolehkan petugas kecemasan melaksanakan tugas mereka dengan lebih berkesan,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal