
LAWAS: Kerajaan Sarawak melalui pelbagai agensi terus komited turun padang menyantuni rakyat, khususnya di kawasan pedalaman, bagi meneliti keperluan dan permasalahan yang dihadapi masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus berkata, usaha ini harus disambut baik oleh rakyat dengan menjadi rakan kongsi dalam menyampaikan maklumat dan maklum balas kepada kerajaan.
“Kerajaan melalui agensi-agensi turun ke lapangan untuk melihat sendiri keperluan rakyat dan berkongsi maklumat tentang program serta bantuan yang disediakan.
“Sebaliknya, rakyat juga perlu memberi maklum balas, berkongsi masalah dan membantu menyebarkan maklumat ini kepada komuniti mereka,” katanya ketika merasmikan Program Jangkauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang yang berlangsung di Dewan Masyarakat Long Tuan, Ulu Trusan, hari ini.

Beliau berkata, pertemuan seperti ini amat penting, khususnya di kawasan pedalaman seperti Long Tuan dan Long Tengoa di Ulu Trusan, agar rakyat tidak terpinggir daripada menerima bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan.
“Program seperti ini membantu rakyat mengetahui secara langsung berkenaan pelbagai bantuan dan perkhidmatan di bawah JKM serta agensi lain. Kita mahu masyarakat pedalaman turut mendapat manfaat sewajarnya,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotella Louise@Rozita Anak Kulai, Ketua Bahagian Kesejahteraan Sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Nurrin anak Chunggat dan kenamaan lain.
Oleh Adeng Edrus