
SARIKEI: Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Sarikei telah membelanjakan sebanyak RM856,800 bagi bantuan kewangan bulanan untuk 1,904 Orang Kurang Upaya (OKU) yang bekerja di bawah Elaun Pekerja OKU dari Januari hingga Oktober 2025.
Timbalan Pengarah (Persekutuan) JKM, Mohd Ali Taib berkata, bagi tempoh sama, skim Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja turut menyalurkan RM2,017,800 kepada 6,726 penerima, manakala Bantuan Pesakit Terlantar melibatkan perbelanjaan sebanyak RM624,500 kepada 1,249 penerima.
“JKM turut menyediakan kaunter pendaftaran OKU di semua pejabat bahagian dan daerah. Sehingga Oktober 2025, seramai 58,059 OKU telah didaftarkan melalui Sistem Pengurusan Maklumat OKU (SMOKU) di seluruh Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Sambutan Hari OKU Peringkat Bahagian Sarikei, di Dewan Serbaguna, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak Bahagian Sarikei, hari ini.

Menurutnya, terdapat tujuh kategori OKU yang diiktiraf, iaitu penglihatan, pendengaran, pertuturan, fizikal, pembelajaran, mental dan pelbagai.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan untuk penggantian kad OKU daripada kad OKU lama kepada kad OKU baharu yang mempunyai kod QR giat dijalankan di semua pejabat JKM.
“Sehubungan itu, kita menggalakkan semua pemegang kad OKU lama untuk tampil ke pejabat kebajikan masyarakat bagi menggantikan kad.
“JKM melalui Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) telah mewujudkan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di setiap bahagian.

“PPDK adalah satu program yang melibatkan pembabitan secara aktif ibubapa atau penjaga ahli keluarga OKU dan komuniti setempat untuk membantu OKU hidup berdikari dan diintegrasikan dalam masyarakat,” katanya lagi.
Katanya, setiap daerah di Sarikei telah diwujudkan satu PPDK iaitu PPDK Sarikei yang mempunyai 56 pelatih, PPDK Meradong dan PPDK Julau masing-masing seramai 22 pelatih dan PPDK Pakan seramai 16 pelatih yang berdaftar.
Sementara itu, seramai 80 peserta yang terdiri daripada pelatih dan petugas daripada PPDK Sarikei, PPDK Meradong, PPDK Julau dan PPDK Pakan telah menyertai sambutan Hari OKU Peringkat Bahagian Sarikei.
Antara aktiviti diadakan termasuk pertandingan penghasilan produk PPDK, bakat seni kreatif, sukaneka bersama Ahli Jawatankuasa PPDK, serta PPDK Got Talent yang bertujuan memupuk semangat bersaing secara sihat dan mengeratkan hubungan antara peserta.
Turut hadir pada majlis penutupan ialah Penghulu William Tandang Ujang selaku wakil kepada Ahli Parlimen Sarikei, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii dan wakil Pegawai Daerah Sarikei, Seah Han Rong.
Oleh Earl Anek