JKM, KKM susuli proses pendaftaran OKU wanita orang asli

Facebook
WhatsApp

GUA MUSANG: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Gua Musang akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyelesaikan proses pengesahan status Orang Kurang Upaya (OKU) seorang wanita Orang Asli di Kampung Rejom di sini.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Gua Musang Bun Tham Eh Gin berkata langkah itu membolehkan Noria Alueg, 40, daripada suku Temiar menjalani penilaian perubatan sebelum pendaftaran kad OKU dan bantuan kebajikan yang bersesuaian dipertimbangkan.

“Bagi kes ini, JKM akan berhubung dengan pihak KKM untuk proses seterusnya… selepas keputusan penilaian dan status kelainan upayanya disahkan, kami akan memproses pendaftaran kad OKU dan seterusnya mempertimbangkan bantuan yang bersesuaian,” katanya kepada pemberita hari ini sambil menambah JKM boleh mempertimbangkan Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja sebanyak RM300 sebulan jika Noria disahkan sebagai OKU.

Beliau berkata pihaknya pernah melawat rumah wanita itu tahun lepas dan menyerahkan borang pendaftaran kad OKU namun proses tersebut tidak dapat diteruskan selepas dokumen berkenaan tidak dikembalikan selain keluarga Noria tidak mendapatkan pengesahan pegawai perubatan.

Noraida Sarim, 54, pula berkata Noria mempunyai dua anak berusia lima dan tujuh tahun yang perlu dijaga ketika suaminya keluar bekerja.

Dia juga berkata keluarga adik iparnya itu berdepan kekangan pengangkutan untuk membawa Noria keluar dari kampung bagi mendapatkan rawatan serta menguruskan pendaftaran kad OKU. – Bernama