BEKENU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menjalankan penilaian bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh disalurkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Masjid Tiris.
Antara bantuan yang dikenal pasti termasuk bahan binaan bagi membolehkan kediaman mangsa dibina semula, selain bantuan kebajikan lain yang bersesuaian.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus berkata demikian ketika ditemui media di lokasi kejadian di Kampung Masjid Tiris, semalam.
Katanya, masyarakat diingatkan supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap risiko kebakaran susulan keadaan cuaca panas dan kering ketika ini.
“Antara aspek yang perlu diberi perhatian termasuk keadaan pendawaian elektrik, penggunaan dapur serta aktiviti pembakaran terbuka.
“Keadaan cuaca panas boleh menyebabkan bahan binaan rumah lebih mudah terbakar dan seterusnya mempercepatkan penularan api,” katanya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata, mangsa, Padi Tassim, 87, bersama cucunya kini tinggal sementara di rumah anak perempuannya yang terletak bersebelahan dengan lokasi kejadian.
“Dalam kejadian itu, rumah mangsa musnah sepenuhnya akibat kebakaran, manakala api turut merebak ke rumah anaknya yang terletak bersebelahan.
“Bagaimanapun, mangsa dan cucunya terselamat kerana tiada di rumah ketika kejadian. Keadaan itu juga menyebabkan tiada apa-apa barangan dapat diselamatkan dari rumah berkenaan,” jelasnya.
Oleh Adum Liu





