


KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Samarahan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan seorang warga emas orang kurang upaya (OKU) penglihatan terjamin selepas insiden memilukan melibatkan kematian anaknya yang juga OKU di rumah mereka di Kota Samarahan pada 5 Disember lalu.
Menurut kenyataan yang dimuat naik oleh JKM Samarahan di Facebook hari ini, warga emas berkenaan ditemui dalam keadaan sangat keletihan selepas berusaha mendapatkan bantuan berikutan kematian anaknya di kediaman mereka.

Katanya, pegawai JKM segera hadir menjalankan penilaian awal di lokasi, termasuk mendapatkan maklumat berkaitan keadaan fizikal, status OKU serta situasi persekitaran warga emas tersebut.
“Bagaimanapun, dia kemudiannya dibawa oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan perkhidmatan van jenazah percuma, sebelum ditempatkan sementara di sebuah hotel di Samarahan sementara NGO tersebut menguruskan jenazah anaknya.
“JKM turut bekerjasama rapat dengan NGO terbabit serta Baitulmal Samarahan bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan kesihatan warga emas itu terjamin,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagi memastikan penjagaan yang lebih teratur dan sesuai dengan keperluan dia sebagai individu OKU penglihatan, JKM Samarahan membuat permohonan untuk menempatkannya secara sementara di Rumah Seri Kenangan (RSK), memandangkan dia tidak lagi mempunyai waris yang boleh menjaga dan mengurus dirinya.
Penempatan sementara itu juga bertujuan membolehkan pihak JKM membawa warga emas tersebut mendapatkan rawatan susulan serta melengkapkan proses penilaian bagi penempatan jangka panjang di RSK.
Menurut kenyataan itu lagi, kes berkenaan kini berada di bawah pemantauan berkala JKM bagi memastikan aspek kebajikan, kesejahteraan dan keselamatan warga emas tersebut sentiasa berada pada tahap terbaik.
Pihak JKM turut merakamkan penghargaan kepada semua individu dan pihak yang peka serta menyalurkan maklumat sehingga bantuan dapat disampaikan dengan pantas dan berkesan.
Oleh SHAHRUL QAIZAT