
SIBU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bukan sahaja berfungsi sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat, malah menjadi tulang belakang dalam menyelesaikan pelbagai isu setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh berkata, keupayaan JKKK memahami situasi dan keperluan penduduk menjadikan jawatankuasa tersebut sebagai elemen penting dalam memastikan dasar dan program kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“JKKK adalah paling dekat dengan rakyat dan tahu keadaan sebenar di lapangan, sekali gus memudahkan proses penyampaian maklumat daripada kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran bersama JKKK Sg Bidut, JKKK Teluk Bango dan JKKK Bukit Igu di dewan Sekolah Menengah (SM) Guong Ming.
Dalam aspek pembangunan luar bandar, katanya, JKKK sentiasa memainkan peranan aktif dalam membantu mempercepatkan pelaksanaan projek kemudahan asas.
“Keselamatan komuniti juga tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjadi asas kepada kesejahteraan dan kemajuan sesebuah kawasan.
“Kerjasama JKKK dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan amat penting dalam memastikan ketenteraman awam sentiasa terpelihara, terutama ketika berlaku kecemasan atau bencana.
“Selain itu, JKKK berperanan memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum melalui pendekatan muafakat dan toleransi,” ujarnya.
Beliau berkata, JKKK juga menjadi pihak yang paling layak membantu mengenal pasti golongan yang benar-benar memerlukan agar bantuan dapat disalurkan secara tepat dan adil.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua ahli JKKK atas komitmen dan khidmat bakti yang dicurahkan serta berharap usaha tersebut diteruskan demi kesejahteraan masyarakat setempat,” kata beliau.
Oleh Akun Giman