
SIMUNJAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris menekankan peranan penting Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta institusi masjid dan surau dalam memacu pembangunan seimbang di peringkat akar umbi.
Beliau berkata pembangunan fizikal, spiritual dan sosial harus digerakkan secara serentak bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
“Sumbangan ini adalah sebagai galakan dan pengiktirafan terhadap usaha gigih pemimpin komuniti dan pengurusan masjid yang selama ini memainkan peranan penting dalam membina keharmonian dan kebajikan masyarakat setempat,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penyerahan cek geran sumbangan kepada 55 JKKK serta 19 masjid dan surau di Dewan Kampung Kelka di sini, kelmarin.

Beliau turut menggesa agar semua penerima menggunakan peruntukan yang diterima dengan sebaik mungkin bagi memperkukuh perpaduan serta meningkatkan taraf hidup masyarakat di kawasan DUN Simunjan.
Secara keseluruhan, sejumlah RM275,000 telah disalurkan kepada JKKK terlibat, manakala RM190,000 diperuntukkan kepada masjid dan surau yang mana dana itu akan digunakan untuk pelbagai program pembangunan komuniti, kebajikan, keagamaan dan sosial sepanjang tahun.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Simunjan, Malisa Basmawi; Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak dan Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, Abdullah Sam Yusup. – UKAS