
SIBU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bahru bersama dengan JKKK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka akan menganjurkan Pertandingan Bola Sepak Tujuh Sebelah Terbuka Sibu 2025 di Padang Penjara Sibu pada 13 dan 14 September ini.
Menurut pengerusi penganjur Abdul Hajis Abdullah, pertandingan itu yang dianjurkan dengan kerjasama LEA Sports Centre (LSC) ini terhad kepada 32 pasukan sahaja.
“Pertandingan sempena Hari Malaysia dan hanya terhad kepada 32 pasukan sahaja dengan yuran pendaftaran RM350 bagi setiap pasukan,” katanya kepada pemberita, semalam.
Katanya, juara pertandingan akan membawa pulang baucer Puma bernilai RM1,500 sementara naib johan menerima baucer Puma bernilai RM1,000, berserta piala dan medal.
“Tempat ketiga bersama masing-masing akan menerima baucer Puma bernilai RM500, berserta piala dan medal,” jelasnya.
Borang penyertaan boleh didapati di LSC Wisma Sanyan. Tarikh tutup penyertaan pada 31 Ogos ini.
Beliau turut memberitahu, pasukan yang menyertai pertandingan akan menerima 10 helai jersi Starsport.
“Setiap pasukan juga berpeluang mendapat diskaun istimewa sebanyak 15 peratus bagi kasut bola jenama Adidas, Nike dan Puma sementara 25 peratus bagi jenama Slazenger,” katanya.
Untuk pertanyaan, boleh menghubungi Hajis ditalian 018-4069019 atau LSC 016-8868952.
Oleh Akun Giman