
BETONG: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) digesa sentiasa bersedia dan menyesuaikan diri dengan perubahan zaman yang semakin mencabar masa kini ketika menjalankan amanah masing-masing.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Gerald Rentap Jabu berkata ahli JKKK perlu memberi perhatian serius terhadap isu utama seperti pembangunan lestari, peningkatan kos sara hidup, kemajuan teknologi dan penglibatan belia.
“Saya menggesa agar JKKK terus meningkatkan kecekapan, memperluaskan rangkaian kerjasama dengan agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta terus memupuk perpaduan dalam komuniti.
“Jangan sesekali leka dengan kejayaan yang lepas, sebaliknya jadikan ia pemangkin untuk bergerak lebih maju ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan JKKK Pentadbiran Pejabat Daerah Betong, hari ini.
Rentap yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata kerajaan Sarawak juga sentiasa komited untuk memperkasakan peranan JKKK sebagai rakan strategik dalam agenda pembangunan luar bandar.
“Pelbagai latihan, insentif dan bantuan telah disediakan dan akan terus ditambah baik demi memastikan pentadbiran di peringkat kampung berjalan dengan lebih cekap dan berkesan. Tanpa kerjasama JKKK, usaha kerajaan untuk membawa pembangunan ke segenap pelusuk kampung tidak akan dapat direalisasikan sepenuhnya,” ujarnya.
Seramai 13 pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), 20 setiausaha JKKK dan enam orang ketua masyarakat paling aktif sepanjang tahun 2024 telah menerima sijil penghargaan perkhidmatan terbaik masing-masing dalam majlis hari ini.
Bagi anugerah JKKK contoh bagi tahun 2024 telah dimenangi oleh JKKK Kampung Melayu Baru Hulu Betong.
Rentap berkata penganjuran majlis penghargaan seumpamanya juga amat penting sebagai platform untuk menghargai sumbangan dan komitmen JKKK dalam melaksanakan tugas sebagai pemimpin komuniti.
“Anda semua telah berkhidmat tanpa mengira siang dan malam, malah ada yang bertugas dalam keadaan serba kekurangan. Namun semangat dan keikhlasan untuk terus berbakti kepada masyarakat amatlah kita hargai dan sanjung tinggi,” ujarnya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu Begri dan Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh.
Oleh Adi Safarman