
SARATOK: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang belum memohon Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) perlu mengambil peluang yang disediakan melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk menambah hasil dan pendapatan penduduk kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri berkata, pelaksanaan SejaTi MADANI yang mana peruntukan keseluruhan berjumlah RM70 juta disediakan untuk Sarawak dan daripada jumlah tersebut sebanyak RM100,000 maksimum untuk setiap JKKK yang berjaya memohon program tersebut bagi membangunkan serta memajukan sesebuah kampung.
“Saya menggesa setiap JKKK di kawasan ini untuk mengambil peluang program kerajaan seperti Program SejaTi MADANI dengan mengemukakan permohonan kepada pihak Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (SDO) untuk kelulusan bagi menambah hasil dan pendapatan penduduk kampung.
“Pendapatan daripada hasil projek ini nanti bolehlah digunakan untuk memajukan, menyediakan kemudahan serta menjalankan aktiviti penduduk kampung tanpa terlalu berharap dengan peruntukan dari wakil rakyat atau kerajaan,” katanya semasa berucap pada majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan perasmian Kedai Bakeri SejaTi MADANI JKKK Kampung Melango Lama Hulu Saratok, semalam.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Duri menjelaskan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka bertuah kerana mendapat peruntukan daripada projek Jalan Perhubungan Desa (JPD) pada tahun ini berjumlah RM1.695 juta.
“Kita amat berterima kasih kepada kepada pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) kerana telah meluluskan peruntukan bagi tujuan pelaksanaan projek JPD di kawasan DUN Kalaka.
“Peruntukan tersebut amat bermakna terutamanya dalam usaha meningkatkan jaringan perhubungan jalan raya di kawasan luar bandar, selain bakal merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk di kawasan terbabit dalam DUN Kalaka selepas ini,” katanya.
Selain itu, Mohamad Duri turut mengucapkan tahniah kepada lima pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia Saratok yang telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
Lima pelajar tersebut ialah Clement Teng Shiaw Choon (10A), Muhammad Muizzuddin Iman Azman (9A), Nur Amira Supian (9A), Darnisha Jane Deshmond (9A) dan Muhamad Danial Izzat Zamaludin (8A).
Turut hadir Pegawai Daerah Saratok, Mohamad Dino Amid, Pemanca Sahari Gani, Penghulu Rajali Bujang, Timbalan Ketua Cawangan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Kalaka Kaunselor Kasdi Pandi, Ketua Kampung Melango Lama Hulu, Mohamad Alzam Ali dan Kaunselor Majid Amit Zainuddin.