BAU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dibenarkan untuk membuat projek secara gotong-royong dengan jumlah tidak melebihi RM200,000 di kawasan masing-masing.
Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol berkata, kerajaan negeri bersetuju semua JKKK dibenarkan untuk membuat projek secara gotong royong dengan nilai projek RM200,000 ke bawah.
“Peruntukan untuk melaksanakan projek itu tidak diberi secara tunai, akan ada syarat-syarat yang ketat iaitu mesti ada jawatankuasa pelaksana dan jawatankuasa pemantau projek berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Kenyalang Gold Card Peringkat Dewan Undangan Negeri Serembu di Dewan Serbaguna Kampung Puak Bau, di sini, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, JKKK juga dibenarkan untuk membuat keputusan melantik kontraktor dengan syarat, mereka perlu berunding dahulu dengan pejabat daerah.
“Keputusan ini perlu dilakukan kerana sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan lima bulan lalu, banyak projek kecil yang boleh dilakukan dalam masa dua bulan seperti membaiki jeti, bumbung bocor dan sebagainya tidak dapat dilaksanakan.
“Oleh sebab itu, kerajaan negeri memberi peranan ini kepada JKKK untuk melaksanakan projek supaya ia boleh dilaksanakan dengan segera,” katanya.
Menurut beliau, maklumat berhubung perkara ini akan dimaklumkan oleh pejabat daerah masing-masing.
Pada majlis tersebut, Abdullah turut mengumumkan pemberian RM5,000 kepada JKKK Kampung Puak bagi menjalankan aktiviti di kawasan itu. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh.
Oleh Cheryl Law