
SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sibu berjaya menyita 8.33 juta batang rokok dan minuman keras tanpa cukai dengan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM6.32 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah kediaman di Brooke Drive, di sini.
Pengarah Kastam Sarawak, Norizan Yahya berkata, serbuan pada 10 Oktober lalu dilakukan hasil risikan Pusat Perisikan Zon Sarawak sebelum pasukan Unit Operasi Darat, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Sibu menyerbu premis berkenaan yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan barangan larangan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan 8,330,000 batang rokok serta 190.08 liter minuman keras pelbagai jenama yang disyaki tidak berkastam, sekali gus melanggar Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM750,840.48, manakala anggaran jumlah duti import dan cukai yang cuba dielak ialah sebanyak RM5,575,667.53,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan JKDM memperkukuh penguatkuasaan undang-undang kastam dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang semakin licik, termasuk usaha menyembunyikan barangan larangan di kawasan perumahan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan atau memiliki barang larangan atau tidak berkastam.
Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda minimum 10 kali amaun duti atau RM100,000 yang mana lebih tinggi, sehingga maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000, atau penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya.
Sehubungan itu, JKDM menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau menghubungi pejabat kastam terdekat.
“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya sambil memberi jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Oleh Tarani Lanting