
SANDAKAN, 29 Jun -- Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah Datuk Abdullah Jaapar (dua, kiri) menunjukkan sebahagian bungkusan dadah jenis methamphetamine ketika mengadakan sidang media di pejabat Kastam hari ini. Turut hadir Timbalan Pengarah Kastam (Operasi Penguatkuasaan) Julaiman Soimin (kiri) dan Ketua Kastam Sandakan Asan Mohd Ali (dua, kanan). Kastam merampas sebanyak 50 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM2.08 juta diisi dalam empat bagasi menggunakan pesawat komersil dari Kuala Lumpur serta menahan empat individu warga tempatan berusia 19 hingga 23 tahun di Lapangan Terbang Sandakan pada 23 Jun lalu. --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

SANDAKAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas kira-kira 50kg dadah disyaki jenis metamfetamin bernilai RM2.08 juta di Lapangan Terbang Sandakan di sini minggu lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata kes itu dikesan pada 23 Jun lepas melibatkan empat lelaki tempatan berumur 19 hingga 23 tahun yang tiba menaiki pesawat komersial dari Kuala Lumpur.
“Dadah dalam plastik lutsinar dibaluti tuala mandi ditemukan dalam bagasi masing-masing semasa Operasi ‘Ice Break’ yang sedang dilancarkan di seluruh negara sejak 22 Jun lepas.
“Mereka (suspek) kini ditahan untuk didakwa di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang akhbar mengenai kes itu di sini, semalam.
Pada hari yang sama (23 Jun), JKDM Sabah merampas bungkusan mengandungi kira-kira 3kg dadah disyaki metamfetamin dengan anggaran nilai RM150,000 yang diikrar sebagai tudung di Mas Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, susulan penahanan seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun dan tiga warga asing terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki masing-masing berumur 19, 23 dan 45 tahun di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
Abdullah berkata sepanjang enam bulan pertama tahun ini, JKDM Sabah berjaya merampas dadah dengan anggaran jumlah nilai RM3.5 juta dan rokok serta minuman keras tanpa cukai masing-masing bernilai RM5.3 juta dan RM3.4 juta.– Bernama