Oleh Mohd Ali bin Salim (Munsyi Sastera)
TAHNIAH kepada penulis cerpen “Ke Garisan” telah berjaya mengukir watak juara untuk menghidupkan cerpen. Penulis memilih satu watak dengan imaginasi yang sesuai dengan pembawaan dalam cerita sebagai watak hero. Watak ini bukan sekadar untuk membangunkan cerita tetapi mampu mendukung segala nilai yang difikirkan oleh penulis sebagai watak hebat. Dalam agenda pemilihan watak kanak-kanak; cerita ini menepati kehendak seorang watak yang boleh menjadi kebanggaan kanak-kanak seperti watak hero lain dalam dunia cerita imaginasi, misalnya watak Superman dan Spiderman. Watak ciptaan penulis ini menjadi penting untuk menyampaikan mesej dan nilai-nilai baik terutamanya kepada kanak-kanak.
Sinopsis
Yan ingin menjadi juara acara lari. Dia yang berasal daripada keluarga miskin perlu mengumpul derma sebanyak RM20 untuk layak ikut acara tersebut. Yan dapat memenuhi syarat itu apabila tauke tempat ayahnya bekerja menderma sebanyak RM50. Yan berlatih di padang ditemani ayah dengan bersungguh-sungguh. Ayah dan adik Yan ditimpa kemalangan jalan raya dan masuk hospital. Yan sedih tetapi diberi semangat oleh Cikgu Hamdan. Yan berjaya dapat nombor satu dalam acara lari lalu membawa piala itu melawat adiknya di hospital. Atong gembira dengan kejayaan Yan.
Watak penting dalam cerita ini ialah Yan. Yan digambarkan oleh penulis sebagai watak kanak-kanak hebat yang berpandangan jauh ke hadapan untuk mencapai kejayaan dalam bidang sukan. Pada peringkat permulaan, cerita penulis menghadirkan watak Yan sebagai kanak-kanak hebat apabila mempunyai satu tekad kepada satu matlamat, iaitu kelajuan. Hal ini diceritakan seperti berikut;
RENUNGAN tajam itu terus ke lantai jalan. Jalan yang tidak rata dengan batu-batu kecil yang pelbagai saiz dan warna. Ditumbuhi dengan rumput-rumput yang segar,baru sahaja dipotong si pemotong rumput. Cuaca cukup sempurna, setenang awan berarak. Minda si kulit gelap itu penuh dengan perancangan. Jikalau orang lain, mereka tentu akan berkhayal dengan imaginasi yang indah. Tidak baginya. Otaknya seolah-olah sedang mengira dan berfungsi seperti kalkulator. Hanya satu formula matematik sering bermain di benak fikirannya, KELAJUAN.
Penulis memperkenalkan watak Yan sebagai watak luar biasa apabila Yan tidak berkhayal seperti orang lain sebaliknya seorang kanak-kanak yang sudah mempunyai tujuan dan hasrat dalam hidupnya, iaitu ‘kelajuan’ yang menggambarkan watak Yan ini mahu laju dalam sesuatu bidang. Dalam perenggan berikutnya penulis menghurai tentang hasrat itu. Penulis menjelaskan kepada pembaca tentang bidang yang dimaksudkan seperti berikut;
“Abang sedang berfikir bagaimana mahu menewaskan angin,” jawab Yan.
Si adik ketawa terbahak-bahak. “Angin?” tanyanya lagi. “Angin kan mana nampak?” jawabnya kepada persoalannya sendiri sambil menyambung ketawa. “Abang nak lawan orang dalam televisyen semalam kan? Lari laju-laju,pecah rekod dunia. Atong pun mau juga.” kata adiknya.Yan mengangguk.
Pada peringkat awalnya penulis menyatakan keinginan melampau Yan sebagai watak hebat yang mahu mengalahkan angin. Hal ini menunjukkan penulis sedang membina jiwa juara dalam diri Yan bukan sekadar mahu laju biasa-biasa sebaliknya mempunyai hasrat yang jitu hendak mengalahkan angin. Ukiran watak hebat ini meletakkan diri Yan sebagai kanak-kanak luar biasa dan bukannya sekadar makna selapis tentang kelajuan angin tetapi penulis mahu mengangkat watak tersebut sebagai kanak-kanak beriltizam tinggi sehingga mahu berlari selaju angin. Seterusnya penulis menjelaskan tentang sejauh mana keinginan watak hero itu; adakah sekadar mahu menang acara lari di sekolah? Berdasarkan huraian penulis, jelas bidang yang ingin diceburi ialah larian. Tahap acara larian itu pula bukan biasa-biasa sasarannya. Sasaran Yan adalah untuk memecah rekod dunia. Dalam aspek pembinaan watak; penulis sedar dan tahu tentang watak juara yang ingin dibangunkan ialah watak juara yang berkeinginan tinggi.
Selanjutnya menuruti plot cerita, penulis menggerakkan ceritanya dengan langkah awal membina juara yang sesuai dengan latar kanak-kanak dan realiti kehidupan masyarakat bawahan. Penulis memulakan gerak plot selepas menjelaskan hasrat watak dengan permulaan acara yang menguji kehebatannya. Namun langkah itu bermula dengan satu halangan yang perlu ditempuh oleh Yan seperti berikut;
“Perhatian semua. Sekolah kita akan mengadakan larian amal dalam dua minggu lagi. Di sini, ada kad derma dan maksimum seorang murid perlu isi adalah sebanyak sepuluh ringgit sahaja.” jelas Cikgu Haizam. “Selain itu,sesiapa yang dapat mengumpul derma melebihi dua puluh ringgit, dia akan automatik layak ikut serta dalam pertandingan larian. Murid yang berjaya mengutip derma tertinggi juga akan mendapat hadiah.” Kedengaran sorakan teruja daripada murid kelas 5 Amanah.
Peluang pertama dalam usaha mengasah bakat untuk menguji kebolehan watak ialah acara larian di sekolah. Yan perlu ikut larian tersebut untuk memulakan hasrat. Namun, Yan mempunyai halangan sebagai watak yang datang daripada keluarga miskin untuk menyertai acara tersebut kerana syarat kelayakan untuk menyertai larian tersebut adalah dengan mengumpul derma sebanyak dua puluh ringgit.
Apabila balik dari sekolah, Yan segera mendapatkan ibunya. Lalu, dia bercerita dengan ibunya hal larian amal. Sedikit kelat dalam senyuman si ibu. Wanita itu tidak juga tersenyum gembira, namun wajahnya juga tidak ketara sedih. Bagi dia, dua puluh ringgit itu banyak. Mungkin sesetengah orang mencabut nilai sebegitu dari dompet seperti hilang seringgit. Tidak bagi keluarganya. Apa sajalah pekerjaan si bapa. Hanya buruh binaan kasar. Kerja seminggu, gaji seminggu. Itupun kalau hari-hari turun. Kadang-kadang sebulan hanya bergaji sembilan ratus sahaja. Yan sedar perubahan wajah si ibu.
Halangan itu menjadi konflik dalam cerita yang menghidupkan gelombang plot. Reaksi ibu membuktikan bahawa wang dua puluh ringgit itu agak berat untuk dicari. Keadaan ini dihurai dengan latar belakang keluarga Yan sebagai keluarga miskin. Yan anak kepada seorang buruh binaan yang bergaji kira-kira sembilan ratus ringgit. Keadaan ini membuktikan bahawa keluarga Yan tidak mampu untuk menderma sebanyak dua puluh ringgit untuk melayakkan Yan menyertai acara lari. Bagaimanapun, Yan sebagai watak hero tidak mengalah tetapi mempunyai gerak usaha sendiri untuk mengumpul derma seperti berikut;
“Ibu, nanti Yan jalan-jalanlah di sini cari dan kutip sampai dua pulih ringgit.” jawabnya.
Petang itu, Yan mulai berasa mahu berlari. Dia berlari anak dahulu, seronok dia sambil memandang ke langit dan kelihatan awan tidak berarak. Mungkin belum cukup laju, detik hatinya. Rumah mereka agak jauh dari tepi jalan kerana tinggal di belakang kawasan industri. Hanya rumah kayu beratap zink. Maklumlah rumah pekerja buruh binaan. Lebih kurang ada dalam belasan sahaja rumah di situ. Tidak juga rapat-rapat tetapi kawasan di situ hanya seluas dalam tiga ekar saja termasuk beberapa jentera berat dan lori berada di situ.
Yan berjalan ke kawasan itu lalu menyapa beberapa jirannya. Tidak banyak, tetapi dia dapat dalam enam ringgit sahaja hari itu. Bolehlah, fikirnya. Esok cari lagi, fikirnya.
Menurut urutan cerita ciptaan penulis, watak hero ini digambarkan sebagai seorang anak yang baik dan berusaha sendiri mendapatkan wang yang disasarkan. Jelas, Yan seorang watak baik yang berdikari, tidak malas dan tidak berharap kepada wang pemberian keluarganya sahaja. Sikap baik watak hero ini ialah dia memahami situasi keluarganya yang susah dan tidak memaksa mereka untuk mendapatkan wang tersebut. Sebaliknya, dia berjalan sendiri di kawasan kejiranan memungut derma hingga memperoleh enam ringgit.
Penulis telah memilih takdir atau nasib baik untuk mengatasi masalah Yan. Hal ini juga merupakan satu kaedah pembinaan watak; watak baik akan berjumpa dengan nasib baik daripada pertolongan Allah SWT untuk orang yang baik. Allah menghadirkan watak tauke memberi derma lebih daripada hajat atau keinginan Yan yang memerlukan 14 ringgit sebaliknya mendapat berlipat ganda daripada jumlah itu apabila tauke memberi sebanyak 50 ringgit;
“Sini.” Lelaki itu memanggil Yan. Yan tidak berani ke hadapan. Ayahnya menolak dia dengan perlahan. Lelaki Cina tersenyum. “Sini, sini. Nah, ini awak ambil.” Lelaki itu menarik wang kertas berwarna hijau bertulis lima puluh ringgit.
“Eh, banyak sangat ni, tauke.” kata ayah.
“Tidak mengapa. Saya beri dengan ikhlas. Ambillah.”
Yan berjalan perlahan dan mukanya tersipu-sipu malu sambil menyambut wang itu. “Terima kasih.”kata Yan.
Lelaki Cina itu menggosok-gosok rambut Yan sehingga kusut. “Belajar rajin-rajin,ya?”
Yan mengangguk. Akhirnya, dia tersenyum.
Seterusnya, dalam pembinaan watak hero penulis menceritakan tentang kesungguhan watak hero. Yan bukan cuma berangan-angan mahu menjadi pelari dunia seperti cerita penulis pada awal cerpen, tetapi Yan bersungguh-sungguh akan keinginannya itu dengan berusaha menuju kejayaan seperti cerita penulis;
Yan berbaring di atas tilam empuk berwarna biru bercorak awan di langit itu. Semasa di sekolah pagi tadi, dia ada ke pusat sumber. Dia baca sebuah buku dan teringat satu kata-kata inspirasi yang tiba-tiba menyentuh hatinya, “Jangan bermimpi untuk menang, berlatihlah untuk itu!” Benar. Lakukan jika sudah bertekad. Bukan hanya sekadar berkata-kata di mulut dan angan-angan. Buktikan! Tekadnya. Dia berjanji untuk mencuba sehabis baik.
Yan sudah berusaha mengatasi halangan untuk mengumpul derma kemudian berlatih untuk merealisasikan hasrat agar menang dalam acara lari tersebut. Jika mahu menang, Yan perlu berlatih bersungguh-sungguh agar benar-benar boleh mendapat juara. Kesungguhan Yan berlatih diceritakan oleh penulis seperti berikut;
Yan masuk melangkah ke dalam rumah lalu disapa si adik. “Abang buat apa tadi?” Si adik berbisik seolah-olah tidak mahu suaranya didengari oleh penghuni lain di rumah itu. Yan layan sahaja karenah si adik, menyahut dalam bisikan, “…abang berlari.”
Atong masih lagi berbisik. “Abang lari lajukah?” soalnya lagi
Yan mengangguk. Itu jawapannya, tidak bersuara tetapi mudah difahami.
“Abang pergi mandi sekarang. Badan abang busuk.” Ibu menegur. Dia tahu Yan penat berlatih. Berlari di kawasan itu. Sudah dia awal-awal pesan, jikalau keluar dari rumah,pastikan sentiasa selamat walaupun di mana jua. Selalu perhati kiri kanan ketika melintasi jalan.
Petikan di atas membuktikan bahawa watak hero bukan berpeluk tubuh menunggu kejayaan. Yan telah berusaha bersungguh-sungguh berlatih hingga penat dan badannya berbau busuk. Penulis juga menceritakan bahawa watak hero ini mendapat sokongan keluarga terutama bapanya. Ayahnya memberi sokongan moral kepada anak agar berlatih dan menemaninya di padang seperti cerita penulis;
“Dapatlah Yan ikut pertandingan berlari. Seronok sangat. Esok Yan nak berlatih sungguh-sungguh.” kata Yan.
“Esok Ahad ya Yan? Apa kata ayah bawa Yan berlatih dekat padang di taman belakang sana?”
“Atong nak ikut! Atong nak ikut!” kata si adik pula.
“Yan, pergilah. Bersenam panaskan badan dulu. Ayah duduk di sana saja.” kata ayah sambil melabuhkan punggung di bangku kayu. Dia kemudian melihat skrin telefon. Yan mulai memanaskan badan. Atong yang duduk bersebelahan si ayah juga memerhati sekeliling. Tidak lama kemudian,dia bangun dan menyertai Yan. Lebih kurang dalam 45 minit kemudian, Yan pun duduk setelah penat berlari. Atong lama sudah tidak ikut Yan berlatih kerana berasa letih. Lalu, Yan pun duduk di sebelah Atong. “Abang nanti nak dapat nombor berapa?”
“Tentulah nombor satu. Dapat hadiah.” Sahut si abang.
“Wah!”jawab Atong.
Penulis juga bercerita tentang kekuatan emosi watak hero. Yan terganggu apabila ayahnya dan Atong ditimpa kemalangan. Yan menjadi tidak fokus dengan latihan. Oleh yang demikian, sebagai watak hero Yan berjaya mengatasinya setelah menerima teguran daripada Cikgu Hamdan;
“Adik saya kemalangan, cikgu. Saya tidak dapat fokus berlatih untuk larian amal itu nanti. Saya sangat sedih, cikgu.” jawab Yan jujur. Air mukanya nampak berubah setelah meluahkan perasaan pilu itu. Cikgu Hamdan nampak wajahnya berubah sedih. Cikgu Hamdan kemudiannya duduk bersebelah dengan Yan sebelum memegang bahu Yan. “Yan kena bersabar. Doakan adik cepat-cepat sembuh. Selepas ni, Yan kena berlatih sungguh-sungguh untuk larian amal Sabtu ini. Fokus dan bersemangat. Apa sahaja keputusan, pastikan ia adalah hadiah terbaik dari Rayyan untuk adik.” kata Cikgu Hamdan pada Yan. Yan mengangguk. Kata-kata gurunya itu bermain di ingatan sehingga dia tiba di rumah.
Kronolgi cerita seterusnya berkembang daripada rentetan plot sebab dan akibat; kekuatan fizikal melalui latihan dan kekuatan emosi yang stabil akhirnya membuahkan hasil sebagai watak juara seperti berikut;
Masih ada lagi 500meter dan hampir tiba di garisan penamat. Dalam satu tempoh larian itu, masih ada sekurang-kurangnya 7 orang berlumba untuk mendapatkan kedudukan terbaik. Tiba-tiba Yan jatuh tersungkur. Rupanya tapak kasut Yan telah tertanggal. Yan menoleh apabila ada orang telah memotongnya. Dia hampir menangis kerana kasut tidak dapat digunakan. “Lari laju-laju, laju abang!” Kedengaran suara si adik menjelma di benak fikiran. “Laju abang!”
Yan tekad. Dia buka kasut yang sebelah lagi lalu meninggalkan kedua-dua kasut di atas rumput. Tidak dia hiraukan kakinya memijak jalan yang panas dengan haba tepat jam 10 pagi. Niat Yan ketika ini, tidak lain tidak bukan, untuk mendapatkan kedudukan terbaik daripada yang terbaik. Pantas dia berlari kerana dia tahu garisan penamat hampir tiba. Beberapa orang berjaya dipotongnya. Ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah yang bertugas pula memberikan sokongan dan sorakan kepada Yan. Ini menambahkan lagi semangat Yan untuk terus berlari dan mara ke hadapan. Yan perhati dari jauh. Masih ada seorang lagi pelari di hadapannya yang perlu dikejarnya. Dia naikkan lagi pecutan larian. Dan akhirnya…
Jelas melalui plot cerita, penulis telah berjaya mereka watak hero dengan jayanya sehingga menjadi seorang juara. Yan telah berjaya mengutip derma, berlatih bersungguh-sungguh dan menstabilkan emosinya. Akhirnya Yan menjadi seorang juara apabila berhadapan masalah sebenar dalam pertandingan dengan masalah kasut tetapi dia berjaya menjadi juara.
Penambahbaikan
Asas sesebuah karya yang baik adalah daripada susunan perkataan dan ayat yang terpilih dan terjaga. Oleh yang demikian, untuk memastikan perkara-perkara asas ini tidak mencacatkan cerita, sewajarnya penulis ambil berat dalam kerja bertukang terutama proses semasa mengedit. Dalam hal ini, cerpen ini sedikit cacat oleh kesalahan ejaan. Penulis hendaklah berhati-hati dengan membaca berulang kali karya sebelum sampai ke tangan editor. Jika tidak, muatan cerita yang menarik akan kehilangan seninya jika asasnya longgar.
Penulis juga perlu ambil perhatian agar fokus dengan jalan utama cerita dan berhati-hati ketika masuk ke persimpangan cerita agar tidak kehilangan fokus seperti kejadian kemalangan Atong dan ayah, juga proses mengutip derma di kilang; supaya dilihat kembali akan kepentingan dalam cerita atau boleh diringkaskan sesuai dengan makna cerpen ringkas dan padat.
Sekiranya penulis mengambil teguran ini dan memanfaatkannya dalam pertukangan karyanya pada masa akan datang, pasti akan membuahkan sebuah jalinan cerita yang baik dan lebih menarik. Walau bagaimanapun, pujian tetap diberikan atas penghasilan karya pertama ini kerana cerita pilihan penulis menarik, khususnya dalam pembinaan watak juara. Penulis berjaya mencipta watak dan perwatakan yang sesuai mendukung watak hero dan berpadanan dengan kronologi peristiwa. Watak yang dibina bukan saja mampu membangunkan cerita malahan berjaya membawa nilai, mesej dan pengajaran kepada pembaca.