JIM Sarawak terima kunjungan hormat JKKP Malaysia

Facebook
WhatsApp
PENGARAH Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Ir. Ahmad Jailani Mansor di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, hari ini. Foto Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak.

KUCHING: Pengarah Imigresen Sarawak, Abdul Halim Abang Naili menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, Ir. Ahmad Jailani Mansor di Bilik Mesyuarat Gemilang, Jabatan Imigresen (JIM), di sini, hari ini.

Beliau diiringi Pengarah JKKP Sarawak, Jamadi Yusup.

Kunjungan hormat tersebut diadakan sebagai platform untuk mengukuhkan hubungan kerjasama strategik serta mempererat jalinan antara kedua-dua agensi dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan lebih berkesan.

Dalam sesi perbincangan, delegasi JKKP Malaysia turut memberi penerangan mengenai fungsi dan peranan jabatan, selain berkongsi tujuan kunjungan tersebut.

Perbincangan turut memfokuskan isu berkaitan pas serta proses permohonan bagi pegawai JKKP yang menjalankan pemeriksaan di pelantar luar pesisir dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 serta Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.

JIM Sarawak komited untuk terus memperkukuh kerjasama rentas agensi bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap, berkesan dan selaras dengan keperluan semasa.