
KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan tiga warga Indonesia dalam Ops Bersepadu (Ops Bersama) dan Ops Selera yang dijalankan di beberapa premis pengusaha warga asing di sekitar Jalan Simpang Tiga, Jalan Pending dan Jalan Haji Taha di sini hari ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak, operasi yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang itu dilaksanakan serentak di seluruh negara bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta peraturan berkaitan pengoperasian premis pengusaha warga asing.
Operasi berkenaan membabitkan penyertaan 39 pegawai daripada JIM Sarawak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Sebanyak lima lokasi diperiksa melibatkan empat Ops Bersepadu dan satu Ops Selera, dengan pemeriksaan dijalankan terhadap 32 Orang Yang Diperiksa (OYDP).
Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan tiga warga Indonesia yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155). Selain itu, dua saman kepada saksi turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
Menurut kenyataan itu, Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin, turut menyertai tinjauan dan advokasi di lapangan sepanjang operasi berkenaan.
Dalam pemeriksaan yang dijalankan, KPDN turut mengesan beberapa kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan kawalan keselamatan bagi memastikan ketenteraman awam sepanjang operasi berlangsung.Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi penguat kuasa yang terlibat atas kerjasama dan komitmen dalam menjayakan operasi tersebut.
Menurut jabatan itu, kerjasama strategik antara agensi akan terus diperkukuh bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta membanteras sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan negara.
Oleh Adi Safarman



