
BINTULU: Seramai 41 warganegara Indonesia, terdiri daripada 26 lelaki dan 15 perempuan telah ditahan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak, di sini semalam.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, penahanan itu adalah menerusi Operasi Bersepadu di beberapa ladang sekitar kawasan di sini yang disyaki menjadi lokasi penempatan dan pekerjaan warga asing tanpa izin (PATI).
Katanya, operasi tersebut melibatkan tiga cawangan utama iaitu Unit Pemantauan Keselamatan dan Penguatkuasaan (UPKP), JIM Sarikei, dan JIM Bintulu, yang memainkan peranan strategik dalam pelaksanaan tindakan penguatkuasaan di lapangan.
Operasi yang dikordinasikan sepenuhnya oleh UPKP ini dijalankan hasil risikan berterusan oleh Unit Penguatkuasaan JIM Sarawak.
“Serbuan tertumpu di tiga lokasi utama iaitu Ladang Zion, Ladang Primula, dan Ladang Datai, melibatkan penyertaan seramai 21 pegawai penguat kuasa.
“Hasil serbuan bersepadu tersebut berjaya menahan 41 warganegara Indonesia, terdiri daripada 26 lelaki dan 15 perempuan,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, siasatan awal mendapati kesemua mereka tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah untuk berada di Malaysia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah, serta Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Semua tahanan telah dibawa ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Bahagian Penguatkuasaan JIM Sarawak menegaskan bahawa usaha membanteras lambakan PATI akan terus dipertingkat melalui operasi bersasar dari semasa ke semasa.
Jabatan turut menggesa orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan keberadaan atau aktiviti PATI melalui saluran rasmi jabatan.
Kerjasama masyarakat amat penting dalam memperkukuh kawalan imigresen serta memastikan kesejahteraan, keselamatan, dan kestabilan sosioekonomi negeri terus terpelihara.
Oleh Adum Liu