JIM Sarawak tahan 17 warga asing dalam operasi bersepadu

Facebook
WhatsApp
OPERASI BERSEPADU…JIM Sarawak menahan 17 warga asing dalam operasi penguatkuasaan di beberapa lokasi sekitar Kuching. Foto JIM Sarawak

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menahan 17 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen menerusi Ops Pintu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Sapu yang dijalankan di lapan lokasi sekitar Tarat, Jalan Mambong, Kota Padawan, Stakan dan Muara Tuang pada Isnin (3 Ogos) dan semalam (4 Ogos).

Operasi penguatkuasaan yang berlangsung dari 10.00 pagi hingga 1.00 pagi itu dilaksanakan susulan aduan orang awam serta hasil risikan Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching.

Sepanjang operasi, seramai 162 Orang Yang Diperiksa (OYDP) telah diperiksa di beberapa lokasi sasaran melibatkan rumah kediaman, tapak pembinaan kilang, kedai yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian serta rumah pekerja bengkel bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen.

PEMERIKSAAN DOKUMEN…Anggota JIM Sarawak memeriksa dokumen warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Kuching. Foto JIM Sarawak

Hasil pemeriksaan mendapati 17 warga asing disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), selain Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua mereka dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

JIM Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Pada masa sama, jabatan itu turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dan menggesa masyarakat agar terus bekerjasama dengan menyalurkan sebarang aduan berkaitan pendatang asing tanpa izin atau penyalahgunaan kemudahan imigresen melalui saluran rasmi JIM.

JIM Sarawak menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja di sebuah tapak pembinaan sekitar Kuching. Foto JIM Sarawak