JIM Sarawak perkasa pencegahan rasuah menerusi pengurusan risiko

Facebook
WhatsApp
ROSLINDA Hanim Mohd Yusoff bersama peserta Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) JIM Sarawak yang berlangsung selama tiga hari di Kuching, hari ini.

KUCHING: Jabatan Imigresen (JIM) terus memperkukuh usaha pencegahan rasuah dengan meningkatkan keupayaan warga kerjanya mengenal pasti dan mengurus risiko rasuah secara lebih sistematik menerusi Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM).

Bengkel selama tiga hari bermula 26 hingga 28 Ogos itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh tadbir urus dan integriti dalam penyampaian perkhidmatan JIM.

Bengkel berkenaan dibuka Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Roslinda Hanim Mohd Yusoff dan menghimpunkan warga kerja JIM Sarawak bagi mengikuti pengisian berkaitan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa serta langkah pencegahan menerusi kawalan dalaman.

PARA peserta Bengkel Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) JIM Sarawak yang berlangsung selama tiga hari di Kuching, hari ini. Foto JIM

Selain pendedahan secara teori, peserta turut diberikan latihan praktikal menerusi penyediaan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah (CRM), termasuk proses mendaftarkan risiko, mengenal pasti punca dan kesan, menilai kawalan sedia ada serta merangka pelan tindakan.

Pengisian bengkel turut diperkukuh melalui kajian kes bagi membantu peserta memahami situasi berkaitan risiko rasuah dengan lebih dekat serta mengenal pasti langkah kawalan yang bersesuaian.

Pada hari terakhir, peserta membentangkan Pelan CRM masing-masing sebelum bengkel ditutup oleh Roslinda Hanim.

Bengkel itu dikendalikan PsK Khairul Hasnida Hassan sebagai penceramah, manakala P/PPj Mohd Hamzah Abdullah bertindak sebagai fasilitator.

JIM dalam kenyataannya berkata pelaksanaan bengkel berkenaan mencerminkan komitmen berterusan jabatan untuk membudayakan amalan kerja berintegriti, selain meningkatkan keupayaan warga kerja dalam mengenal pasti risiko dan melaksanakan langkah kawalan serta mitigasi secara sistematik.

Usaha itu turut dilihat penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dilaksanakan secara berintegriti, telus, profesional dan berakauntabiliti, sekali gus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan JIM.