
HIDUP ini bukan satu garis lurus yang mudah diteka. Dunia penuh dengan ketidakpastian. Hari ini kita sihat, esok mungkin diuji dengan sakit. Hari ini kita berada dalam keselesaan, esok mungkin diuji dengan kesempitan.
Dalam keadaan begini, ramai yang keliru dan merungut. Mereka bertanya, “Mengapa aku yang diuji? Mengapa tidak orang lain?” Luahan demi luahan keluar dari hati yang resah sehingga suasana menjadi lebih berat. Namun, hakikatnya tiada siapa mampu menjamin apa yang berlaku pada kita.

Dunia ini bergerak dengan peraturan Allah, bukan perancangan manusia semata-mata. Sesuatu yang tidak kita jangka boleh berlaku pada bila-bila masa. Inilah kehidupan yang penuh dengan kejutan dan perubahan.
Di sinilah bermulanya titik renungan: bagaimana kita mahu berdepan dengan sesuatu yang berlaku? Adakah kita hanya mahu tenggelam dalam rungutan atau kita mahu melihat ruang dan peluang di sebalik apa yang sedang menimpa? Sudah semestinya ajaran Islam memberi jawapan kepada kita sebagai pegangan hidup bila situasi seperti ini berlaku.
Perspektif Kepercayaan: Islam Sebagai Pegangan Hidup
Sebagai seorang Muslim, kita diberi panduan yang lengkap. Islam mengajar bahawa setiap yang berlaku adalah ketentuan Allah. Tidak ada satu pun yang terjadi tanpa izin-Nya.
Kita boleh merancang, tetapi Allah jualah yang menentukan hasilnya. Persoalannya, siapakah kita untuk menyoal takdir Allah? Adakah kita lebih tahu daripada-Nya tentang apa yang terbaik untuk diri kita? Sudah tentu tidak.
Oleh itu, keindahan iman terletak pada penerimaan. Bezanya orang yang beriman dengan orang yang goyah ialah perspektifnya. Orang beriman melihat ujian sebagai tanda kasih sayang Allah. Kesenangan dilihat sebagai amanah, manakala kesusahan pula dilihat sebagai latihan jiwa.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 216 memberi pengajaran yang mendalam: “Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” Ayat ini menjelaskan bahawa pandangan manusia terbatas, tetapi ilmu Allah meliputi segala-galanya.
Maka, setiap peristiwa sama ada pahit atau manis adalah jalan untuk mendidik kita menjadi lebih matang dan dekat kepada-Nya. Sesungguhnya setiap ujian dilihat pada perspektif peluang di mana kita yakin saat dalam kegelapan akan membawa sinaran apabila penentuannya dari Allah.
Dari Ujian Kepada Peluang: Saat Gelap Membawa Sinar
Hidup ini tidak statik. Ia sentiasa berubah di mana adanya pasang dan adanya surut. Yang penting bukan apa yang berlaku, tetapi bagaimana kita bertindak selepas itu. Ramai insan hebat dalam sejarah membuktikan bahawa ujian menjadi pintu kejayaan mereka apabila diatasi dengan penuh kebijaksanaan.
Orang miskin yang bangkit dengan usaha halal akhirnya menjadi usahawan berjaya. Orang yang pernah gagal pelajaran akhirnya menjadi guru kehidupan kepada masyarakat. Orang yang diuji dengan penyakit akhirnya mengajar orang lain erti menghargai kesihatan.
Boleh kita ertikan bahawa setiap kali kita jatuh, itu adalah ruang untuk bangkit lebih kuat. Setiap kali kita hilang sesuatu, itu membuka peluang untuk mencari sesuatu yang lebih bermakna.
Jika tika dan saatnya berlaku sesuatu, kita sebenarnya sedang dipanggil untuk berubah. Berubah daripada lemah menjadi kuat, daripada lalai menjadi sedar, daripada jauh kepada lebih dekat dengan Allah. Kuncinya ialah sabar, reda dan keyakinan. Dengan sifat ini, kita mampu melihat ujian sebagai ruang, bukan penghalang. Kita mampu menjadikan peristiwa pahit sebagai pengalaman berharga untuk membina masa depan yang lebih baik dengan membawa diri sebagai insan berguna dan berjaya.
Menjadi Insan Berguna dan Berjaya
Akhirnya, hidup ini adalah perjalanan. Ia penuh dengan persinggahan yang tidak kita jangka. Tetapi setiap persinggahan membawa mesej bahawa Allah sedang mendidik kita. Jangan sesekali melihat ujian sebagai penamat, sebaliknya lihatlah ia sebagai permulaan kepada sesuatu yang lebih baik.
Sebagai insan yang beriman, kita mesti berpegang teguh kepada sistem kehidupan Islam yang sempurna. Di dalamnya terkandung panduan bagaimana untuk bersyukur, bersabar dan bertawakal. Semua ini adalah bekalan untuk mengharungi saat-saat yang tidak pasti.
Ingatlah, Allah tidak menjadikan sesuatu sia-sia. Apa yang berlaku pada kita, sama ada kita suka atau tidak, semuanya mengandungi hikmah yang tersembunyi. Hikmah itu mungkin kita tidak nampak sekarang, tetapi suatu hari nanti kita akan bersyukur kerana pernah melaluinya. Maka, yakinlah jika tika dan saatnya sesuatu berlaku, itulah ruang yang Allah buka untuk kita menjadi lebih berguna, lebih matang, lebih beriman, dan akhirnya lebih berjaya.
Hakikatnya, manusia yang hebat bukanlah mereka yang tidak pernah diuji. Tetapi mereka yang ketika diuji, tetap mampu melihat peluang untuk menjadi insan lebih berguna, reda kepada Allah dan bermanfaat kepada orang lain.
Wallahu alam Bissawab