Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • “Jika saya mati, ampunkan saya, ibu, ayah,” tulis kanak-kanak Gaza sebelum maut dalam serangan udara Israel
  • GLOBAL

“Jika saya mati, ampunkan saya, ibu, ayah,” tulis kanak-kanak Gaza sebelum maut dalam serangan udara Israel

Utusan Sarawak 4 months ago
SEORANG kanak-kanak berdiri di sebelah jenazah empat ahli keluarga al-Qadra dari Palestin (ibu bapa dan dua anak mereka) yang terkorban dalam serangan Israel menyasarkan khemah mereka di utara Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. FotoAFP

BANDARAYA GAZA: “Jika saya mati, ampunkan saya, Ibu, Ayah,” tulis Azmi Abu Al-Shaar, seorang kanak-kanak Palestin berusia 10 tahun dalam telefon bimbitnya sebelum terkorban dalam serangan udara Israel yang menyasarkan rumah keluarganya semasa serangan genosid ke atas   Gaza yang berlarutan selama 15 bulan.

Keluarganya baru-baru ini menemui nota itu, mendedahkan mesej yang menyayat hati, mencerminkan realiti pahit peperangan termasuk kematian, kemusnahan, dan kehilangan orang tersayang, lapor Agensi Anadolu.

Ditulis pada 19 Mac 2024, nota itu menggambarkan kesedaran seorang kanak-kanak terhadap kematian di tengah-tengah kemusnahan kediaman dan pembunuhan wanita serta kanak-kanak.

“Assalamualaikum. Jika saya mati, ampunkan saya, Ibu, Ayah, dan adik-beradik saya Naeema, Shahed, Maryam, dan Mahmoud. Ibu, Ayah, saya benar-benar minta maaf jika pernah menyakiti hati kalian. Saya rasa saya tidak mempunyai banyak masa lagi,” menurut mesej itu, yang kini tersebar luas di media sosial.

Azmi meneruskan: “Ibu, tolong jaga Mahmoud. Naeema, maafkan saya kerana menyusahkan kamu. Shahed, Maryam, Mahmoud—saya minta maaf kepada kamu semua. Saya bersumpah saya sayangkan kamu semua, juga Nenek, Datuk, pakcik-pakcik saya, dan semua orang. Saya harap mereka memaafkan saya.”

Serangan genosid Israel di Gaza telah meragut nyawa lebih daripada 17,800 kanak-kanak, menurut statistik terkini Pejabat Media Kerajaan di Gaza.

Sepanjang peperangan, ramai kanak-kanak menulis nama mereka pada lengan dan badan untuk memudahkan pasukan penyelamat mengenal pasti mereka jika terkorban atau tidak dapat dikenal pasti akibat serangan, mencerminkan kepiluan yang dialami oleh golongan paling muda di Gaza.

Perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa pada 19 Januari, menggantung perang genosid Israel yang telah membunuh hampir 47,300 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan hampir 111,500 orang sejak 7 Oktober 2023.

Perjanjian tiga fasa itu merangkumi pertukaran tahanan dan jaminan ketenangan berterusan, dengan matlamat mencapai gencatan senjata kekal serta pengunduran pasukan Israel dari Gaza.

Serangan Israel telah menghancurkan Gaza, menyebabkan penduduknya kehilangan tempat tinggal, kelaparan, dan terdedah kepada penyakit.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas  terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung peperangan di wilayah itu. – Bernama – AA

Tags: Global

Continue Reading

Previous: Dua panda tampil di Zoo Negara Washington
Next: Bangunan 3 tingkat runtuh di Turkiye

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.