
TOKYO: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Sarawak yang diwakili oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Universiti Metropolitan Osaka malam ini.
MoU tersebut melengkapi kerjasama sedia ada antara kerajaan Sarawak dengan National Institute for Environmental Studies (NIES) yang telah dimeterai pada 2023 atas mandat Premier Sarawak.
Antara inti pati utama MoU ini ialah cadangan kerjasama dalam penggunaan satelit pemerhatian iklim (GOSAT) bagi tujuan penilaian dan pemantauan pelepasan gas rumah hijau (GHG) melalui Pertukaran Ekosistem Bersih (Net Ecosystem Exchange, NEE).
Bagi Sarawak, kerjasama ini akan memperkukuh tahap kredibiliti negeri dalam aspek pelaporan bebas bagi Pasaran Karbon Secara Sukarela, memandangkan satelit GOSAT berupaya menyediakan aliran data saintifik yang sahih dan bebas.
Selain itu, skop kerjasama turut merangkumi aktiviti penyelidikan bersama dalam bidang ekosistem hutan dan pemuliharaan biodiversiti, serta penerbitan bersama hasil penyelidikan antara kedua-dua pihak.
Majlis pertukaran MoU tersebut disempurnakan oleh Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad dan wakil Universiti Metropolitan Osaka, Prof Dr Yayoi Takeuchi dengan disaksikan oleh Premier Sarawak.
Delegasi seterusnya akan meneruskan lawatan rasmi ke Osaka dan Hamden Mohammad dijemput untuk menyampaikan syarahan bertajuk ‘Strengthening Forest Management Through Research, Monitoring and Innovation in Sarawak’ pada 12 November 2025 di Universiti Metropolitan Osaka.
-UKAS