
SIBU: Syarikat JG Sarava Sdn Bhd (JGS) merancang untuk membina sebuah kilang pemprosesan nanas berteknologi tinggi di Tanjung Manis dengan pelaburan bernilai RM1 bilion, sekali gus menjadikan kawasan itu sebagai hab utama pengeluaran dan eksport nanas berskala besar di Sarawak.
Pengarah Urusan JGS, Datuk Jeyarajan Sri Ramalu berkata, projek berkenaan dilihat mampu mengubah landskap pertanian negeri dan membuka pasaran lebih luas kepada para penanam nanas tempatan.
“Sebaik sahaja kilang ini beroperasi, para penanam nanas dari sejauh Kuching hingga Limbang akan mempunyai pembeli tetap. Tidak perlu lagi bergantung sepenuhnya pada gerai tepi jalan atau rak pasar raya.
“Mereka hanya perlu menghantar hasil tuaian ke Tanjung Manis, dan selebihnya akan diuruskan oleh pihak kami,” katanya kepada pemberita selepas sesi persidangan bersama pelabur untuk projek berkenaan di sini, semalam.
Menurut beliau, ketika ini Sarawak hanya menghasilkan kira-kira 15 tan nanas setiap hari, jauh lebih rendah daripada keperluan harian JGS yang mencecah 50 tan.
Namun, beliau melihat situasi itu sebagai satu peluang besar untuk merangsang pertumbuhan industri nanas negeri.
“Sekarang adalah masa terbaik untuk melabur dalam penanaman nanas. Dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang, saya yakin industri nanas Sarawak mampu mengatasi industri di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Jeyarajan turut mendedahkan bahawa syarikatnya telah memperoleh pelaburan sebanyak RM1 bilion daripada seorang pelabur utama dari India.
“Delegasi pelabur telah diberi taklimat mengenai rancangan kami hari ini dan maklum balas mereka amat positif. Mereka akan melawat tapak projek di Tanjung Manis selepas ini untuk melihat sendiri potensi sebenar kawasan itu,” ujarnya.
Tambah beliau, kelebihan utama Sarawak terletak pada kemudahan infrastruktur sedia ada termasuk Lebuhraya Pan Borneo, yang telah memperkukuh hubungan antara wilayah dan menjimatkan kos logistik.
“Dengan infrastruktur yang tersedia dan keyakinan pelabur di pihak kita, Tanjung Manis berada di landasan tepat untuk menjadi ibu kota nanas bagi rantau ini,” katanya.
Oleh Tarani Lanting