LIMBANG: Peruntukan berjumlah RM1 juta sudah dibelanjakan melalui kerajaan pusat dan negeri untuk menaik taraf kemudahan Jeti Santana sejak dibuka tiga tahun lepas.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail memberitahu, berdasarkan potensi pelancongan di Jeti Santaba, destinasi itu sudah dimasukkan dalam pelan utama Jabatan Landskap Negara melalui peruntukan sebanyak RM500,000 bagi produk pelancongan daerah Limbang.
Ini termasuk di Medamit dan Tedungan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan dari semasa ke semasa seperti di kawasan lain, katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kota sewaktu melawat Jeti Santaba Kampung Patiambun di sini baru-baru ini.
Beliau berkata aspek keselamatan membabitkan pengunjung ke Jeti Santaba termasuk pembinaan lampu dan sebagainya akan turut dibina sejajar dengan peruntukan yang telah disalurkan.
Namun demikian, bagi menyediakan kemudahan pelancongan menyeluruh di kawasan itu sebanyak RM50,000 daripada kerajaan negeri diperuntukkan tahun ini untuk membina tandas sempurna dan kantin dalam menyediakan kemudahan kepada pengunjung.
Sekarang ini kemudahan di Jeti Santaba masih belum mencukupi dan kerajaan merancang untuk menyambung jeti sepanjang satu kilometer di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) melalui peruntukan RM1 juta yang kini dalam peringkat pemberian tender.
ADUN Bukit Kota itu menegaskan, kerajaan terus membangunkan Jeti Santaba Kampung Patiambun sebagai satu lagi destinasi pelancongan popular di utara negeri ini untuk menarik kemasukan pelancong tempatan dan luar.
Ini kerana keindahan alam semulajadi di Jeti Santaba yang terkenal dengan monyet Belanda dan kelip-kelip mampu menarik kemasukan pelancong sekali gus menjadikan Limbang pintu masuk utama pengunjung kerana kedudukannya berdekatan Brunei, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah.
Oleh Adeng Edrus