PETRA JAYA: Projek menaik taraf Jeti Kampung Boyan-Gersik yang dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kini siap sepenuhnya bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan kebolehcapaian pengguna, sekali gus memperkukuh sistem pengangkutan air di Sungai Sarawak.
Penyelaras Projek bagi Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam, Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, projek bernilai RM918,000 yang dibiayai kerajaan Sarawak itu dilaksanakan oleh DBKU sebagai agensi pelaksana bagi menggantikan sepenuhnya ponton lama yang rosak akibat penggunaan berterusan.
“Jeti Kampung Boyan-Gersik ini merupakan antara pangkalan perahu tambang paling sibuk di tebing utara Sungai Sarawak kerana menjadi laluan utama penduduk, pelajar, pengunjung dan pelancong setiap hari.
“Justeru, DBKU mengambil langkah membina ponton baharu bagi menggantikan struktur lama yang telah rosak, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis penyerahan siap projek daripada kontraktor kepada DBKU di Jeti Kampung Boyan-Gersik, di sini, hari ini.

Skop projek merangkumi pembinaan empat komponen utama iaitu tiang panduan (guide pillar), ponton, jambatan penghubung (gangway) dan laluan pejalan kaki jeti (jetty walkway) bagi menyediakan kemudahan yang lebih moden, selamat serta berdaya tahan untuk kegunaan penduduk dan pengunjung.
Menurut Abdul Rahman, reka bentuk baharu jeti itu turut mengambil kira kelancaran acara Regatta Sarawak apabila struktur ponton dibina lebih selari dengan tebing sungai berbanding struktur lama yang sebelum ini sedikit menonjol ke laluan sungai.
Beliau berkata, pangkalan tersebut bukan sahaja menghubungkan Kampung Boyan-Gersik dengan Kampung Seberang Hilir, malah menjadi pintu masuk utama ke kawasan yang terkenal dengan industri kotej seperti kek lapis dan ikan terubok, selain deretan gerai makanan serta kraftangan.
“Kemudahan baharu ini juga lebih mesra Orang Kurang Upaya (OKU) kerana pengguna kerusi roda kini boleh bergerak terus dari perahu tambang ke Boyan Plankwalk tanpa perlu menggunakan tangga,” katanya.
“Laluan ini menghubungkan beberapa tarikan utama seperti English Tea House, Fountain Darul Hana, Dataran Ibu Pertiwi, Kubu Margherita dan Taman Botani, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelancong menggunakan perahu tambang untuk menikmati kawasan tebingan Kuching,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan tersebut dijangka memperkukuh lagi peranan perahu tambang sebagai pengangkutan tradisional Sungai Sarawak yang terus relevan, di samping menyokong pembangunan sektor pelancongan dan ekonomi komuniti setempat.
Pelaksanaan projek itu juga dijangka meningkatkan imej kawasan tebing Sungai Sarawak di Kampung Boyan-Gersik sebagai destinasi yang lebih tersusun, kondusif dan menarik, selaras dengan komitmen DBKU memperkukuh pembangunan infrastruktur bandar, memperindah kawasan tebingan Kuching serta menyokong aspirasi menjadikan Kuching sebagai bandar raya yang selamat, berdaya huni dan berkualiti tinggi.
Oleh Norman B





