
BINTULU: Penduduk Kampung Sebuan Kecil kini menikmati kemudahan yang lebih selesa dan selamat dengan siapnya jeti baharu yang dibina di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kemudahan tersebut memberi manfaat besar kepada penduduk, khususnya dalam urusan harian keluar masuk menggunakan perahu, selain menjamin aspek keselamatan dan keselesaan.
“Syukur alhamdulillah, jeti baharu ini pasti memberi kemudahan kepada penduduk kampung dalam urusan keluar masuk menggunakan perahu, malah turut menjamin aspek keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Saya percaya kemudahan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti Kampung Sebuan Kecil serta menjadi pemangkin kepada peningkatan aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan ini,” katanya selepas meninjau projek berkenaan, hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Bintulu selaku agensi pelaksana serta semua pihak yang terlibat menjayakan projek tersebut.
“Inilah bukti bahawa setiap projek yang dilaksanakan adalah untuk manfaat rakyat, selaras dengan matlamat membawa pembangunan seimbang di kawasan luar bandar,” ujarnya.
Oleh Carolyne Utih